Bayern belasah Dortmunt 5-1

Bayern belasah Dortmunt 5-1

MUNICH, 5 Okt (Reuters) – Thomas Mueller dan Robert Lewandowski masing-masing menjaringkan gol yang membolehkan Bayern Munich membenam pasukan tangga kedua Borussia Dortmund 5-1 semalam, menyaksikan juara itu melebarkan jurang kepada tujuh mata di tangga teratas Bundesliga.

Bayern menyamakan rekod kemenangan lapan kali berturut–turut pada awal musim ini.

Pemain penyerang Jerman, Mueller membuka jaringan pada minit ke-26, yang mendapatkan bola 50 meter daripada pemain pertahanan Jerome Boateng dan menggandakan pendahuluan pasukan tuan rumah dengan sepakan penalti sembilan minit kemudian bagi gol liga kelapan.

Pierre-Emerick Aubameyang mengekalkan jaringannya dalam setiap perlawanan liga Dortmund musim ini ketika menyudahkannya dari jarak dekat seminit kemudian tetapi pasukannya tidak dapat menghalang kebangkitan pasukan Bavarian itu, yang mencatatkan 15 rembatan tepat dalam perlawanan itu.

Pemain penyerang Bayern, Lewandowski menamatkan sebarang harapan bagi kebangkitan dengan dua gol awal pada separuh masa kedua untuk mengumpulkan jumlah jaringannya kepada 12 dalam semua perlawanan dalam tempoh 12 hari dan sembilan dalam tiga perlawanan Bundesliga, satu rekod liga.

Reaksi para pemain Bayern Munich selepas membelasah Borussia Dortmund 5-1. – AFP
Reaksi para pemain Bayern Munich selepas membelasah Borussia Dortmund 5-1. – AFP

Boateng memberikan satu lagi hantaran lintang dari kawasan sendiri dan kapten pasukan Poland, Lewandowski mengejutkan Mats Hummels dan Sven Bender untuk menjaringkan gol seminit selepas rehat.

Dia kemudian menjaringkan gol 12 minit kemudian bagi gol liga ke-12 dalam lapan perlawanan pertama, menyamakan rekod Bundesliga yang dicatatkan oleh Christian Mueller pada 1964/65 dan Gerd Mueller pada 1968/69.

Bekas rakan sepasukan Dortmund, Mario Goetze menambah gol kelima bagi Bayern pada minit ke-66 dengan pasukan pelawat sudah menyerah.

“Saya mahu menyampaikan ucapan tahniah kepada pemain–pemain saya,” kata jurulatih Bayern, Pep Guardiola. “Kami mengalami beberapa masalah pada 15 minit pembukaan dan sehingga jaringan, kami tidak mempunyai banyak peluang.”

ARTIKEL YANG SAMA