Bayern benam Ingolstadt 2-0

Bayern benam Ingolstadt 2-0

BERLIN, 13 Dis (AFP) – Robert Lewandowski dan Philipp Lahm menjaringkan gol malam tadi ketika Bayern Munich mencipta kemenangan 2-0 mengatasi Ingolstadt untuk kembali ke landasan sebenar selepas kekalahan mengejutkan dalam Bundesliga.

Selepas kalah buat pertama kali dalam liga musim ini ketika tunduk 3-1 di Moenchengladbach Sabtu lalu, Bayern mempamer persembahan baik di Allianz Arena, Munich sebelum menjarakkan kedudukan dengan dua gol pada babak kedua.

“Ia adalah persembahan hebat daripada Ingolstadt, mereka benar-benar memberi tekanan buat kami,” kata Lahm, yang mengakui pasukannya kekurangan tenaga selepas menang 2-0 mengatasi Dinamo Zagreb awal pagi Khamis lalu dalam Liga Juara-Juara.

“Ia adalah kali pertama dalam tempoh yang lama kami tidak keluar dan bermain dengan tenaga yang banyak sejak permulaan.

Bayern Munich ketika meraikan gol mereka. – AFP
Bayern Munich ketika meraikan gol mereka. – AFP

“Kami perlu belajar daripadanya dan menyedari bahawa kami juga perlukan tenaga itu.

“Jika tidak ia akan menjadi lebih sukar, terutama apabila lawan bermain sangat baik seperti dilakukan hari ini.”

Lahm mendapat arahan jurulatih Bayern, Pep Guardiola pada minit ke-58 memintanya bermain di bahagian tengah, pemain sayap Kingsley Coman ditukar dari kiri ke kanan manakala Javi Martinez ke bahagian pertahanan.

Ternyata taktik berkenaan segera mendatangkan hasil.