Bayern: Benfica bukan lawan mudah

Bayern: Benfica bukan lawan mudah

BERLIN, 5 April (AFP) – Bayern Munich tidak sabar untuk mengelak satu lagi ancaman dalam Liga Juara-Juara kepada lawan dari Portugal pada suku akhir apabila berdepan Benfica awal esok pada saingan pusingan pertama.

Skuad Pep Guardiola dari Bavaria itu tewas 3-1 di tempat lawan kepada Porto pada peringkat sama musim lalu pada pusingan pertama sebelum bangkit dengan kemenangan 6-1 di Munich untuk menang agregat 9-2.

Sejak Bayern menewaskan finalis musim lalu Juventus 6-4 secara agregat pada pusingan 16 pasukan terakhir, media Jerman merasakan laluan mereka ke separuh akhir sudah hampir pasti.

Namun skuad Bavaria itu menegaskan mereka tidak mengambil mudah sebelum berdepan pendahulu liga Portugal itu dalam perlawanan timbal balas.

“Perlawanan itu amat bahaya. Kami perlu mengingatkan diri sendiri mengenai apa yang kami lalui di Porto tahun lalu,” kata penyerang Bayern, Mario Gotze.

Pemain Bayern (dari kiri) David Alaba, Douglas Costa dan Franck Ribery berlatih di Munich kelmarin. – Reuters
Pemain Bayern (dari kiri) David Alaba, Douglas Costa dan Franck Ribery berlatih di Munich kelmarin. – Reuters

Juara Piala Dunia bersama Jerman itu berharap akan dapat bermain selepas larian pantasnya membawa kepada jaringan menakjubkan Franck Ribery pada perlawanan Sabtu lalu ketika mengatasi Eintracht Frankfurt 1-0 dalam liga.

Bagaimanapun, pengerusi Bayern Karl-Heinz Rummenigge memberi amaran kepada pendahulu Liga Jerman itu bahawa mereka perlu menampilkan lebih lagi daripada sekadar jaringan sepakan ala basikal Ribery ketika berdepan Benfica.

“Itu tidak akan cukup pada Selasa. Benfica memiliki barisan serangan berbahaya dan pertahanan mereka hanya bolos 19 gol dalam 28 perlawanan liga musim ini,” Rummenigge memberi amaran.

ARTIKEL YANG SAMA