Bayern beri amaran

Bayern beri amaran

MUNICH, 14 Sept – Gergasi Bavaria Jerman Bayern Munich membuka kempen Liga Juara-Juara dengan langkah kanan selepas menewaskan kelab Rusia, Rostov 5-0, kelmarin, sekali gus memberi amaran mengenai kemampuan kelab itu musim ini.

Joshua Kimmich menyumbangkan dua gol. Penyerang kebangsaan Jerman, Thomas Mueller yang menyambut hari jadinya, semalam turut menjaringkan gol.

Selepas penyerang prolifik, Robert Lewandowski meledak gol pembukaan menerusi penalti pada minit ke-23, Mueller menggandakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama.

Kimmich kemudian menjadikan kedudukan 3-0, lapan minit selepas perlawanan bersambung susulan gerakan cantik daripada Douglas Costa, yang kemudiannya menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-60.

Pemain Sepanyol Juan Bernat kemudian menyumbat gol pada minit terakhir permainan untuk jaringan kelima Bayern.

Pemain Bayern Joshua Kimmich (dua kiri) meraikan jaringan semasa menentang Rostov dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara di Munich kelmarin. – AP
Pemain Bayern Joshua Kimmich (dua kiri) meraikan jaringan semasa menentang Rostov dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara di Munich kelmarin. – AP

Pengendali Bayern, Carlo Ancelotti, yang mengemudi kelab itu dalam kempen Liga Juara-Juara buat pertama kali menggantikan Pep Guardiola berkata: “Ia perlawanan yang hebat. “Kami menjaringkan gol dengan awal. Kami dapat menghasilkan lebih banyak peluang.

“Bolehkah kami memenangi Liga Juara-Juara? Sudah tentu pasukan kami akan kompetitif musim ini dan pada ketika ini, semuanya berada dalam keadaan baik.

“Begitupun, objektif kami adalah untuk memenangi peringkat kumpulan dan selepas itu kita akan lihat undiannya.”

Sementara itu, Rostov adalah muka baharu di Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan Liga Russia musim lalu di tangga kedua.

Mereka menggunakan corak taktikal yang sama menerusi formasi 5-3-2 di Munich, yang berjaya mengejutkan kelab Belanda, Ajax dan Anderlecht pada pusingan kelayakan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA