Bayern cicirkan mata pertama

Bayern cicirkan mata pertama

BERLIN, 2 Okt – Pendahulu Bayern Munich, keciciran mata pertama Bundesliga, awal pagi tadi selepas sekadar terikat 1-1 di laman sendiri kepada Cologne sekali gus menafikan Carlo Ancelotti rekod enam kemenangan berturut-turut.

Tandukan separuh masa pertama Joshua Kimmich di Allianz Arena dipadamkan jaringan voli Anthony Modeste untuk memecahkan rekod kemenangan 100 peratus gergasi Bavaria itu pada kempen ini.

Ia bermakna Ancelotti terlepas peluang menyamai rekod Bundesliga enam kemenangan berturut-turut buat jurulatih yang baharu membuat penampilan pertamanya di dalam saingan utama Jerman itu.

“Kami bermain sangat baik di babak pertama dan mengawal permainan, kemudian kami kehilangan arah dan rentak pada perlawanan tadi,” akui Ancelotti.

“Kami tidak beraksi dengan baik pada dua perlawanan terakhir, dan ia berterusan sehingga selepas rehat antarabangsa. Cologne hampir menyambar kemenangan luar biasa di Munich.”

Perkara itu jelas terbukti apabila penyerang Cologne, Simon Zoller melepasi pertahanan dan percubaannya mengatasi penjaga gol Manuel Neuer, tetapi melantun di tiang gol ketika dua minit waktu tambahan.

Ancelotti membuat tujuh pertukaran ke atas skuadnya yang tewas 1-0 kepada Atletico Madrid dalam pertemuan kumpulan Liga Juara-Juara pada Rabu lalu. Hanya Neuer, Javi Martinez, Xabi Alonso dan Robert Lewandowski mengekalkan tempat utama dalam pasukan.

Sementara itu, Hertha Berlin memanfaatkan peluang untuk merampas kedudukan kedua liga dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Hamburg di laman sendiri. Percubaan padu Vedad Ibisevic meletakkan Hertha di depan di Stadium Olimpik Berlin sebelum dia sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti di babak kedua.

Borussia Dortmund pula kekal di tangga ketiga biarpun tunduk 2-0 kepada satu lagi pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara, Bayer Leverkusen hasil tandukan Admir Mehmedi dan percubaan babak kedua Javi Hernandez – gol kelimanya dalam tiga perlawanan.

Penyerang Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat jaringan lewat permainan, namun gol itu dibatalkan, tetapi ia adalah persembahan di bawah tahap sebenar selepas mereka mengikat Real Madrid 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri pada Khamis lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA