Bayern cuba kukuh cengkaman

Bayern cuba kukuh cengkaman

BERLIN, 21 Ogos (AFP) – Bayern Munich berkunjung ke Hoffeinheim esok untuk menghadapi pesaing yang belum pernah menewaskan mereka dalam 14 pertemuan.

Bayern yang dikendali oleh Pep Guardiola memulakan musim baru dengan membenam Hamburg 5-0 Jumaat lalu ketika gergasi Bavaria itu memulakan usaha untuk menjadi pasukan pertama memenangi empat gelaran Bundesliga berturut–turut.

Hoffenheim tidak pernah menewaskan Bayern dan maestro Munich mahu mencatatkan 15 perlawanan tanpa tewas menentang kelab dari Sinsheim setelah memenangi tiga daripada empat kunjungan mereka ke Rhein-Neckar Arena.

“Kami pergi ke sana untuk menang dan mempertahankan kedudukan kami di kedudukan teratas,” kata pertahanan Bayern dari Maghribi, Medhi Benatia, yang menjaringkan gol pembukaan menentang Hamburg. “Jika kami memberikan tumpuan, saya pasti kami akan keluar dengan kemenangan.”

Hoffenheim perlu bangkit daripada kekalahan 2-1 di Bayer Leverkusen Sabtu lalu selepas mensia-siakan pendahuluan pada separuh masa pertama.

Penyerang mereka Kevin Volland dari pasukan Bawah-21 Jerman mengakui pasukannya perlu lebih sempurna untuk menikmati kemenangan pertama ke atas Bayern, setelah mencatatkan keputusan seri 3-3 pada Mac 2014.

“Kami perlu menyerang dan perlu berani,” kata Volland yang berusia 23 tahun itu. “Itu akan menyukarkan mereka kerana mereka tidak biasa dengan serangan.

“Serangan adalah salah satu daripada kekuatan kami tetapi ia juga berisiko. Mereka begitu bagus dan boleh menguasai hampir kesemua pasukan lain di dunia. Kami mahu bangkit tetapi selalu sukar untuk melakukannya ketika menentang Bayern. Kami memerlukan hari yang sempurna.”

Pemain sayap Bayern dari Brazil, Douglas Costa sudah melakar nama selepas membuat kemunculan Bundesliga dengan gol kelima menentang Hamburg setelah menggantikan pemain sayap Arjen Robben dan Franck Ribery yang mengalami kecederaan.