Bayern hampiri kejuaraan

Bayern hampiri kejuaraan

BERLIN, 17 April (AFP) – Bayern Munich terus meninggalkan pencabar lainnya di persada Bundesliga dengan kelebihan 10 mata yang kini semakin hampir ke kejuaraan keempat berturut-turut kelab itu selepas menewaskan Schalke 3-0, pagi tadi.

Ketika kelab di kedudukan kedua, Borussia Dortmund hanya akan beraksi menentang Hamburg hari ini, skuad bimbingan Pep Guardiola itu menggunakan sepenuhnya peluang di Allianz Arena itu.

Berbaki empat perlawanan dan bergantung kepada keputusan perlawanan lain, gergasi Bavaria itu boleh mengesahkan kejuaraan lebih awal sebelum aksi bertemu Borussia Moechengladbach, dua minggu lagi.

Penyerang berbisa Poland, Robert Lewandowski sekali lagi menampilkan ketajamannya apabila meledak dua gol pada minit ke-54 dan 65 sebelum bintang Chile, Arturo Vidal melengkapkan malam gemilang Bayern pada minit ke-73.

Dua gol itu menjadikan jumlah jaringan yang dikumpul Lewandowski ketika ini kepada 27 dengan kelebihan empat gol berbanding pencabar utamanya dari Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang.

“Saya sekali lagi merasa bagus. Ini adalah di tahap semua perkara tidak berjalan dengan baik,” kata Lewandowski kepada Sky selepas gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan sebelum ini.

“Kami bermula perlahan pada babak pertama, namun bermain dengan amat baik selepas rehat.”

Bayern ketika ini masih berpeluang untuk menjuarai tiga piala musim ini di bawah bimbingan Guardiola yang dijadualkan akan berpindah ke Manchester City, musim depan.

Kelab itu akan bertemu Werder Bremen pada separuh akhir Piala Jerman, Selasa ini dan turut dijadual bertemu kelab Sepanyol, Atletico Madrid dalam peringkat empat terbaik Liga Juara-Juara.

Dalam perlawanan lebih awal, Bayer Leverkusen mendaki ke tangga ketiga liga di ambang untuk meraih kedudukan selamat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan kelab bergelut, Eintracht Frankfurt 3-0.

ARTIKEL YANG SAMA