Bayern intai rekod kelab di Darmstadt

Bayern intai rekod kelab di Darmstadt

BERLIN, 19 Feb (AFP) – Bayern Munich mampu mencipta sejarah kelab ketika berdepan Darmstadt dalam aksi Bundesliga sekiranya berjaya menghalang gol daripada pihak lawan, esok.

Skuad Pep Guardiola kini memburu rekod enam perlawanan di halaman sendiri tanpa bolos dan kelab terakhir yang membolosi mereka adalah Arsenal apabila mendapat gol sagu hati selepas tewas 5-1 di Arena Allianz, November lalu.

Sejak dari saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara itu, Bayern memenangi semua lima perlawanan di halaman sendiri dalam semua kejohanan tanpa melepaskan sebarang gol dan kini mempunyai kelebihan lapan mata di puncak Bundesliga.

Pasukan Guardiola enggan memberi peluang kepada Darmstadt untuk meraih kemenangan pertama di Munich sebelum mereka beraksi di pusingan pertama 16 terbaik Liga Juara-Juara berdepan Juventus, Selasa ini.

“Mereka akan bermain dengan sangat terperinci,” kata midfield Bayern, Xabi Alonso. “Kami perlu bersabar dan amat penting untuk mendapatkan gol pertama.

“Semuanya tertumpu kepada perlawanan dengan Darmstadt. Ketika ini, kami mahu mengekalkan pendahuluan lapan mata ini. Hanya selepas itu, kami akan memikirkan perlawanan dengan Juventus.”

Dengan 21 gol berada dalam genggaman, penyerang Bayern, Robert Lewandowski sudah menjaringkan hampir kesemua gol berbanding 22 gol keseluruhan dijaringkan Darmstadt.

ARTIKEL YANG SAMA