Bayern jinakkan Wolf

Bayern jinakkan Wolf

BERLIN, 28 Okt (AFP) – Bayern Munich mara ke pusingan ketiga persaingan Piala Jerman semalam dengan kemenangan 3-1 ke atas VfL Wolfsburg ketika penyerang kebangsaan Jerman, Thomas Mueller menjaringkan dua gol.

Keputusan berkesudahan 5-1 semasa kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu empat minggu lalu selepas Robert Lewandowski menjaringkan kesemua lima gol dalam masa sembilan minit pada separuh masa kedua persaingan Bundesliga, tetapi Mueller adalah penyeksa utama Wolfsburg dalam perlawanan itu.

Bayern mempamerkan permainan serangan bertaraf tinggi pada babak pertama ke atas pasukan tangga kedua liga Jerman musim lalu pada pusingan kedua ketika pemain sayap dari Brazil, Douglas Costa membuka jaringan dengan rembatan kencang dari luar kawasan pada minit ke-15.

Mueller mendapatkan kelebihan penuh terhadap dua hantaran lintang pemain pertahanan, David Alaba pada minit ke-20 dan 34 untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga rehat. Rentak permainan menurun pada babak kedua, tetapi Wolfsburg terjejas apabila hantaran midfield Maximilian Arnold mendapatkan Andre Schuerrle.

Pemain sayap dari Jerman itu melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer pada minit ke-90, tetapi tidak lebih daripada jaringan sagu hati. Bayern tiada tandingan di Jerman: kelebihan tujuh mata dalam Bundesliga dalam usaha untuk memenangi empat gelaran berturut–turut dan mereka adalah pasukan yang perlu disaingi dalam Piala Jerman.

Thomas Mueller (kanan) merembat bola di depan gawang Wolfsburg dalam aksi Piala Jerman di Wolfsburg, semalam. – AFP
Thomas Mueller (kanan) merembat bola di depan gawang Wolfsburg dalam aksi Piala Jerman di Wolfsburg, semalam. – AFP

“Tidak banyak yang perlu dikatakan mengenai separuh masa pertama,” jelas jurulatih Wolfsburg, Dieter Hecking. “Anda tidak akan mampu beraksi seperti itu dan jika Bayern menjaringkan lebih banyak gol kami mungkin tidak ada aduan.”

Sebelum itu, dua pasukan Bundesliga mengalami kekalahan memalukan apabila Eintracht Frankfurt tewas 1-0 kepada pasukan divisyen tiga, Erzgebirge Aue dan Mainz yang beraksi dengan 10 pemain tewas ketika pasukan divisyen dua 1860 Munich menjaringkan gol lewat untuk menang 2-1.

Pasukan divisyen empat, Unterhaching memberikan satu lagi kejutan dengan kemenangan 2-0 di tempat sendiri menentang pasukan divisyen dua RB Leipzig ketika pasukan amatur Bavaria itu sekali lagi menjejaskan mereka.