Bayern ke suku akhir Piala Jerman

Bayern ke suku akhir Piala Jerman

BERLIN, 16 Dis (AFP) – Gol voli daripada pemain antarabangsa Sepanyol, Xabi Alonso membantu Bayern Munich mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Jerman selepas menewaskan Darmstadt 1-0, awal pagi tadi.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu menyumbat gol cantik daripada luar kotak penalti yang melepasi jangkauan penjaga gol Darmstadt, Christian Mathenia, pada minit ke-40 dalam aksi di Allianz Arena.

Ketika diminta mengulas gol yang dijaringkan Alonso itu, rakan sepasukannya yang juga pemain antarabangsa Jerman, Thomas Muller, mengatakan dia juga tidak boleh menjaringkan gol seperti yang dilakukan Alonso.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu menjadi pilihan utama kejohanan selepas mengecewakan juara bertahan, Wolfsburg, pada perlawanan sebelum ini.

Bayern berpeluang mendahului dengan dua gol, namun tandukan Robert Lewandowski sekadar terkena tiang sebelum tamat separuh masa pertama.

Xabi Alonso meraikan golnya sekali gus membawa Bayern Munich ke suku akhir Piala Jerman. - Reuters
Xabi Alonso meraikan golnya sekali gus membawa Bayern Munich ke suku akhir Piala Jerman. – Reuters

Pendahulu Bundesliga itu berjaya layak ke peringkat seterusnya meskipun menunjukkan persembahan kurang meyakinkan, sama seperti ketika mereka menewaskan Ingolstadt dengan jaringan 2-0 pada saingan liga, Sabtu lalu.

“Meskipun mereka mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama, mereka gagal memanfaatkan peluang yang terhidang,” kata jurulatih Darmstadt, Dirk Schuster.

Sementara itu, tujuh gol disaksikan pada aksi Borussia Moenchengladbach bertemu Werder Bremen, yang menyaksikan Bremen mengejutkan Moenchengladbach, 4-3, sekali gus membolehkan tuan rumah mara ke peringkat lapan pasukan terbaik.

Javier Hernandez pula terus cemerlang dengan gol ke-16 hanya dalam 13 perlawanan buat Bayer Leverkusen selepas jaringannya membantu pasukan itu menang 3-1 ke atas pasukan divisyen keempat, Unterhaching.

Pasukan divisyen kedua, Heidenheim turut tidak berdepan masalah mengetepikan kelab divisyen ketiga, Erzgebirge Aue dengan keputusan 2-0 dan mara ke peringkat suku akhir untuk kali pertama dalam sejarah kelab itu.