Bayern mahu gelaran di Berlin

Bayern mahu gelaran di Berlin

BERLIN, 22 April – Thomas Mueller menggambarkan setiap baki perlawanan Bayern Munich sebagai ‘final kecil’ ketika mereka boleh muncul juara dengan mencipta kejayaan bersejarah empat gelaran Bundesliga berturut-turut di Hertha Berlin, esok.

Tiada kelab pernah muncul juara empat kali berturut-turut, namun skuad kendalian Pep Guardiola itu kini memiliki kelebihan tujuh mata berbaki empat perlawanan.

Mereka perlu menewaskan Hertha, dan berharap pasukan tangga kedua Borussia Dortmund tewas di Stuttgart, untuk mengesahkan gelaran.

Ia pastinya menjadi tonik tambahan menjelang kunjungan awal pagi Khamis depan ke Sepanyol untuk berdepan Atletico Madrid bagi saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Stadium Olimpik Berlin sentiasa menjadi gelanggang menggembirakan buat Bayern sejak beberapa musim lalu selepas menang gelaran Bundesliga pada 2010 dan 2014 di sana.

pg20_160423_bayern logo

Mereka akan kembali ke ibu kota pada 21 Mei untuk berdepan Dortmund pada saingan final Piala Jerman.

“Ia sentiasa berlaku dengan minggu-minggu terakhir musim adalah paling penting,” kata Mueller, yang menjaringkan kedua-dua gol Selasa lalu ketika menang 2-0 pada separuh Piala Jerman berdepan Werder Bremen.

“Namun beberapa lagi perlawanan selepas itu lebih penting, jika kami terus melepasinya. “Ia bermakna kami berdepan final kecil pada setiap tiga hari atau lebih.”

Bayern melalui perlawanan yang bagus dalam tujuh pertemuan sebelum ini, bermula dengan kemenangan dramatik 4-2 mengatasi Juventus pada pertengahan Mac apabila mereka ketinggalan 2-0 di laman sendiri untuk memenangi pusingan kedua suku akhir Liga Juara-Juara. – AFP