Bayern nyaris tersingkir

Bayern nyaris tersingkir

MUNICH, 17 Mac (AFP) – Pemain gantian, Thiago Alcantara dan Kingsley Coman meledak pada masa tambahan bagi membantu Bayern Munich bangkit menewaskan Juventus 4-2 dalam aksi timbal balik kedua peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, dengan kemenangan agregat 6-4.

Bayern Munich melengkapkan kebangkitan bergaya untuk membenam Juventus, sekali gus layak ke suku akhir Liga Juara Juara dengan anak buah Pep Guardiola itu turut merakam dua rekod baru saingan berprestij Eropah itu.

Tuan rumah dikejutkan apabila ketinggalan 2-0 selepas 28 minit di Arena Allianz apabila Paul Pogba dan Juan Cuadrado menjaringkan gol buat kelab Itali itu sebelum Bavarian menjaringkan empat gol.

Seperti perlawanan pertama di Turin, apabila Bayern mensia-siakan peluang sehingga seri 2-2, pasukan tuan rumah kembali memberi tentangan apabila Robert Lewandowski menjaringkan gol pada minit ke-73 sebelum penyamaan dramatik Thomas Mueller dalam minit ke-91 yang memaksa perlawanan disambung ke masa tambahan.

Thiago yang masuk daripada bangku simpanan meletakkan Bayern di depan buat kali pertama pada minit ke-108 sebelum pemain gantian, Coman – yang dipinjamkan daripada Juventus – menyumbat gol cantik pada minit ke-110 untuk memberi tiket suku akhir kepada Bavarians bagi musim kelima berturut-turut.

Aksi Thiago ketika menandukkan bola dalam perlawanan pusingan kedua, peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Munich. Thiago dan Coman meledak pada masa tambahan bagi membantu Bayern bangkit menewaskan Juventus 4-2 dengan kemenangan agregat 6-4. – Reuters
Aksi Thiago ketika menandukkan bola dalam perlawanan pusingan kedua, peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Munich. Thiago dan Coman meledak pada masa tambahan bagi membantu Bayern bangkit menewaskan Juventus 4-2 dengan kemenangan agregat 6-4. – Reuters

“Itu adalah perlawanan gila,” kata Mueller. “Kami tahu, biarpun kami ketinggalan 2-0, kami masih ada harapan.”

Kapten Bayern, Philipp Lahm berkata, “Malam yang tidak disangka. Anda boleh melihat bagaimana sengitnya apabila dua pasukan terbaik bertemu. Kami tahu ia akan berakhir jika kami bolos gol ketiga.”

Keputusan itu mengembalikan impian Pep Guardiola untuk membawa trofi Liga Juara-Juara ke Munich buat kali ketiga dan percubaan terakhirnya sebelum berpindah ke Manchester City, musim depan.

Ini adalah juga kali ketujuh Guardiola membawa pasukan ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara.

“Perlawanan yang hebat untuk penyokong kami. Kami menentang finalis musim lalu dan tahu mereka adalah satu pasukan yang hebat.

“Saya perlu memberi pujian kepada anak buah saya. Sukar untuk menang ke atas pasukan Itali terutamanya selepas ketinggalan dengan dua gol,” kata pengendali Sepanyol itu.

Champions League

ARTIKEL YANG SAMA