Bayern perlu tunggu seminggu lagi

Bayern perlu tunggu seminggu lagi

BERLIN, 24 April – Bayern Munich perlu menunggu seminggu lagi untuk mencipta sejarah bagi merekodkan gelaran juara Bundesliga buat kali keempat berturut-turut walaupun berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Hertha Berlin, malam tadi.  Keputusan itu menyaksikan anak buah Pep Guardiola hanya mempunyai kelebihan tujuh mata di tangga teratas liga dengan tiga perlawanan berbaki musim ini.

Bayern boleh ditabalkan sebagai juara sekiranya penghuni tangga kedua, Borussia Dortmund tewas kepada VfB Stuttgart dalam satu lagi perlawanan tetapi musuh tradisi mereka itu menang 3-0. Ia menyaksikan Bayern hanya boleh menjulang trofi Bundesliga dengan menewaskan Borussia Moechengladbach di Allianz Arena, Sabtu ini tanpa mengambil kira sebarang keputusan dalam perlawanan lain.

“Semuanya kini terletak di tangan kami dan ia hanya tinggal selangkah lagi untuk meraih gelaran juara,” kata Guardiola yang menambah kemenangan Dortmund mungkin memberi kelebihan kepada Bayern.

“Diharapkan ia bukan sesuatu yang buruk, ia bermakna kami akan menjadi juara Jerman di laman sendiri”.

Belum ada mana-mana pasukan merekodkan empat kejuaraan secara berturut-turut dalam saingan Bundesliga. Anak buah Guardiola kekal di landasan tepat untuk merekodkan treble sebelum membimbing Manchester City.

Dalam perlawanan dengan Hertha, dua gol Bayern dijaringkan Arturo Vidal dan Douglas Costa. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA