Bayern sedia teruskan rentak

Bayern sedia teruskan rentak

BERLIN, 23 Sept – Pendahulu Bundesliga Bayern Munich yang dikendalikan oleh Carlo Ancelotti akan berdepan pasukan bergelut Hamburg esok dengan pengendalinya Bruno Labbadia tertekan selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut.

Kekalahan 1-0 Hamburg di Freiburg Selasa lalu menyusul selepas dimalukan 4-0 di laman sendiri oleh RB Leipzig pada Sabtu.

Labbadia mengambil alih Hamburg sejak April 2015 tetapi satu lagi persembahan hambar daripada anak buahnya ketika berdepan skuad sempurna Bayern, mampu menjadi perlawanan terakhirnya.

Hamburg sebelum ini pernah dibelasah 5-0, 8-0 dan 9-2 di tangan gergasi Munich itu sepanjang tempoh tiga tahun lalu, dan satu lagi jurang kekalahan besar akan menyaksikan hayat Labbadia hanya terhad kepada lima perlawanan musim ini bersama kelab berkenaan.

Kali terakhir Hamburg menewaskan Bayern ialaha pada tahun 2009 dan tidak pernah menang ke atas gergasi Bavaria itu sepanjang 13 pertemuan terakhir antara mereka.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya dan saya yang pertama akan melakukannya jika kami gagal menentukan corak permainan,” kata Labbadia.

Pertahanan Hamburg perlu bekerja keras untuk mengekang asakan jentera serangan Bayern yang dibarisi Robert Lewandowski, Thomas Mueller dan Franck Ribery, penjaring-penjaring gol ketika kemenangan 3-0 ke atas Hertha Berlin Rabu lalu.

Bayern kini satu-satu pasukan yang masih memegang rekod sempurna dalam liga tertinggi Jerman itu dan mahu meneruskan rentak itu sebelum berdepan Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara Selasa depan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA