Bayern tawan semula Bundesliga

Bayern tawan semula Bundesliga

BERLIN, 22 Sept – Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich kini menjadi pasukan tunggal di Jerman yang masih mengekalkan rekod 100 peratus apabila menewaskan Hertha Berlin 3-0, awal kelmarin.

Pemain tengah, Franck Ribery, Thiago Alcantara dan Arjen Robben masing-masing meledakkan satu gol di Allianz Arena, sekali gus memberikan kemenangan keempat berturut-turut kepada pengendali, Carlo Ancelotti dalam saingan musim ini.

Hertha pula di kedudukan kelima selepas terlepas tiga mata buat kali pertama musim ini di Munich susulan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

“Hari ini kami bermain menentang pasukan Bayern yang lengkap. Mereka bermain sangat baik dan berhak untuk menang. Kami bertahan dengan baik tetapi melepaskan gol yang tidak sepatutnya kepada pihak lawan,” kata jurulatih Hertha, Pal Dardai.

Arjen Robben (tengah) meraikan jaringan bersama rakan semasa menentang Hertha Berlin untuk aksi Bundesliga di stadium Allianz Arena, Munich kelmarin. – AP
Arjen Robben (tengah) meraikan jaringan bersama rakan semasa menentang Hertha Berlin untuk aksi Bundesliga di stadium Allianz Arena, Munich kelmarin. – AP

Bayern mendahului seawal 16 minit selepas Ribery berjaya merobek benteng pertahanan Hertha dan melepaskan rembatannya melintasi garisan gol.

Hertha enggan mengalah seperti kebanyakan pasukan apabila ketinggalan di belakang Munich. Mereka bertahan dengan baik walaupun menikmati penguasaan hampir 20 peratus.

Berlin memberikan Bayern gol kedua selepas pertahanan Brazil Allan terlalu ego membawa bola di kawasan sendiri sehingga membolehkan Thiago merampas penguasaanya sebelum senang-senang membidik gawang lawan pada minit ke-68.

Sementara itu, Robben gembira kerana kembali menjaringkan gol selepas enam bulan diketepikan kerana masalah kecederaan pangkal paha. – AFP