Bayern tepati ramalan

Bayern tepati ramalan

LISBON, 14 April (AFP) – Bayern Munich melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas pertembungan menarik suku akhir kedua menentang Benfica berakhir dengan keputusan seri 2-2, semalam.

Keputusan seri itu sudah cukup buat gergasi Jerman berkenaan melangkah ke kelompok empat terakhir menerusi agregat 3-2 hasil kemenangan tipis 1-0 di laman sendiri, minggu lalu.

Barisan bimbingan Pep Guardiola bertandang ke Estadio Da Luz dengan bekalan satu gol menerusi jaringan Arturo Vidal pada awal permainan di Allianz Arena sebelum ini.

Selepas permulaan yang perlahan, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan secara agregat pada minit ke-27 menerusi jaringan Raul Jimenez yang berjaya melepasi perangkap pertahanan Bayern sebelum mengatasi penjaga gol, Manuel Neuer.

Begitupun, Vidal kembali menyamakan kedudukan 1-1 tujuh minit sebelum babak pertama berakhir sekali gus meletakkan Bayern kembali di depan secara agregat yang memaksa Benfica memerlukan dua gol seandainya ingin mara ke separuh akhir.

Vidal menunjukkan tanda bagus selepas menjaringkan gol semasa menentang Benfica pada perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon, kelmarin. – AFP
Vidal menunjukkan tanda bagus selepas menjaringkan gol semasa menentang Benfica pada perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon, kelmarin. – AFP

Ketika tuan rumah terdesak memburu jaringan, penyerang Jerman, Thomas Mueller menjaringkan gol kedua buat pelawat pada minit ke-52 sebelum Talisca menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-76. Bayern akan menyertai Real Madrid, Atletico Madrid dan Manchester City pada undian separuh akhir, esok.

Kejayaan mara ke separuh akhir menyaksikan Guardiola berpeluang untuk menghadiahkan Bayern tiga kejuaraan termasuk Bundesliga dan Piala Jerman sebelum berhijrah ke Manchester City, musim depan.

“Kami berpuas hati kerana Liga Juara-Juara kejohanan yang amat sukar. Kami mencapai objektif kami dan kini kami mahu ke final,” kata Guardiola yang kini sudah berada di pentas sama sebanyak tujuh kali selaku pengurus.

“Daripada apa yang saya baca di Jerman, mereka kata jika saya meninggalkan Bayern tanpa memenangi Liga Juara-Juara, kerja saya tidak lengkap. Namun bagi kami, barisan jurulatih, sasaran sentiasa menjuarai trofi.”

Bayern yang juga juara lima kali sudah enam kali melangkah ke peringkat separuh akhir sejak tujuh musim lalu. Kali terakhir Benfica layak ke peringkat sama ialah pada 1990.

ARTIKEL YANG SAMA