Bazar amal Awal Tahun Hijrah mulai Khamis ini

Bazar amal Awal Tahun Hijrah mulai Khamis ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiulap dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, jabatan-jabatan kerajaan serta badan persatuan akan mengadakan jualan bazar amal sempena Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah dari 29 September hingga 3 Oktober 2016.

Jualan amal yang akan berlangsung di perkarangan luar kawasan Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan itu akan turut menampilkan beberapa aktiviti sampingan termasuk sukan ria.

Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang jualan bazar amal itu nanti termasuk penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada para peniaga yang ikut serta dan menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim Kampung Kiulap.

Acara juga akan dimeriahkan dengan jualan ‘carboot sale’, persembahan pentas, melukis muka, inai tangan, pertandingan mewarna, pameran kucing, pameran burung, ‘flying fox’ dan banyak lagi.

Ahli Biro Wanita MPK Kiulap, Dayang Siti Fatimah binti Haji Jair ketika ditemu bual berkata, jualan bazar amal ini diadakan untuk mengumpul dana bagi tabung anak-anak yatim Kampung Kiulap dan menggalakkan masyarakat Brunei untuk terlibat dalam kerja-kerja amal.

Beliau juga berkata, jualan ini turut mengumpulkan dana untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan baik dalam perbelanjaan persekolahan mahupun perbelanjaan harian mereka.

“Bazar ini juga memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana untuk berniaga sambil beramal, mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa kampung dan jabatan-jabatan kerajaan, sekolah, badan persatuan dan orang ramai,” ujar Dayang Siti Fatimah.

Bazar berkenaan akan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam kecuali Jumaat bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan akan disambung dari jam 2 petang hingga 10 malam. Manakala itu, ‘carboot sale’ pula akan bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang sahaja.

ARTIKEL YANG SAMA