Bazar amal di Dewan Muhibbah

Bazar amal di Dewan Muhibbah

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Bagi menambah dana Tabung Amal Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Battle Pro Event dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara buat pertama kalinya telah mengadakan bazar amal yang bermula hari ini hingga 4 Februari, di Dewan Muhibah, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Menurut Usahawan Muda, Battle Pro Marketing & Management Services, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, seramai 40 orang pengusaha yang terdiri daripada kalangan belia dan usahawan tempatan menyertai jualan bazar amal bagi mempromosi dan mempamerkan pelbagai produk makanan, pakaian, aksesori dan alat-alat permainan.

Bazar ini turut disokong oleh peniaga selebriti luar negara seperti Bienda bagi membantu ejen-ejen mereka di Brunei Darussalam di samping dapat menggalakkan para peniaga lain dan orang ramai berinteraksi bersama mereka, jelas Haji Syed Mohd Yassin.

Ia diadakan untuk mengumpul dana Jabatan Daerah Brunei Muara di samping memberi peluang perniagaan kepada para peniaga tempatan bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menyeru para belia untuk berniaga.

Salah seorang pengusaha melayan pelanggan semasa Bazar Amal di Dewan Muhibbah.
Salah seorang pengusaha melayan pelanggan semasa Bazar Amal di Dewan Muhibbah.

Melalui bazar berkenaan, sebahagian daripada hasil jualan akan didermakan kepada Tabung Amal Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Ini bermakna orang ramai yang membeli-belah di bazar ini secara tidak langsung menyumbang ke arah menyokong usaha penuh berkebajikan ini, kata Haji Syed Mohd Yassin lagi.

Bagi memeriahkan lagi bazar amal ini, beberapa aktiviti menarik akan dijalankan sepanjang empat hari ia dijalankan termasuk permainan ‘Derma dan Menang’ yang menguji kepantasan para peserta.

Selain itu, orang ramai yang berkunjung ke mana-mana acara yang dianjurkan oleh Battle Pro Event, termasuk Bazar Amal 2016 ini, akan berpeluang memenangi hadiah menarik seperti iPhone 6, tiket penerbangan dan lain-lain hadiah percuma tanpa perlu membuat sebarang pembelian melainkan mengisi borang sahaja. Cabutan bertuah ini akan dibuat pada penghujung tahun 2016.

Haji Syed Mohd Yassin melahirkan harapan agar bazar ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai bagi membantu mengisi dana Jabatan Daerah Brunei dan Muara bersesuaian dengan tema bazar ‘Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah.’

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke Bazar Amal 2016 ini yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 8 malam.

Dalam kesempatan itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk menderma darah pada 3 Februari, jam 9 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang dan pada 4 Februari pada Jam 9 pagi hingga 11 pagi.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah melayari laman Facebook ‘Battle pro marketing’ atau ikuti perkembangannya di Instagram, battlepromms.

ARTIKEL YANG SAMA