Bazar amal diteruskan hingga Ahad ini

Bazar amal diteruskan hingga Ahad ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Bazar Jualan Amal anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiulap yang berlangsung pada 29 September hingga kelmarin di perkarangan Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan kini diteruskan sehingga 9 Oktober.

Jualan amal berkenaan turut menampilkan beberapa aktiviti sampingan termasuk sukan ria, jualan ‘carboot sale’, persembahan pentas, melukis muka, inai tangan, pertandingan mewarna, pameran kucing, pameran burung, ‘flying fox’ dan banyak lagi.

Ahli Biro Wanita MPK Kiulap, Dayang Siti Fatimah binti Haji Jair ketika ditemu bual berkata, sumbangan anak-anak yatim sebanyak $600 telah dikutip daripada peserta yang menyertai bazar sejak 29 September lalu.

“Hasil berkenaan akan disumbangkan kepada anak-anak yatim di kawasan Kampung Kiulap di majlis-majlis tertentu,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, jualan ini turut mengumpulkan dana untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan baik dalam perbelanjaan persekolahan mahupun perbelanjaan harian mereka.

“Bazar ini juga memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana untuk berniaga sambil beramal, mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa kampung dan jabatan-jabatan kerajaan, sekolah, badan persatuan dan orang ramai,” ujar Dayang Siti Fatimah.

Bazar berkenaan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam kecuali Jumaat bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan akan disambung dari jam 2 petang hingga 10 malam. Manakala itu, ‘car boot sale’ pula akan bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang sahaja.

ARTIKEL YANG SAMA