Bazar Ekspresi Seni tonjol kreativiti anak tempatan

Bazar Ekspresi Seni tonjol kreativiti anak tempatan

Oleh Normazlina M.D

MAJLIS Belia Brunei (MBB) baru-baru ini telah menganjurkan Bazar Ekspresi Seni yang dikendalikan oleh Kumpulan PUTRA Seni (KPS), sebuah persatuan belia yang bergiat aktif dalam bidang kesenian dan kebudayaan Brunei.

Hadir menyaksikan Bazar Ekspresi Seni itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Program Bandarku Ceria telah membuka ruang dan peluang kepada penglibatan belia dalam pelbagai sektor dengan orientasi tertentu. Peluang ini dilihat MBB sebagai satu cabaran untuk menggerakkan belia dalam bidang keusahawanan khususnya dalam pembangunan potensi industri kreatif.

Oleh itu, dengan mengadakan Bazar Ekspresi Seni ini, MBB berhasrat mereka dapat mencipta peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan bagi kalangan belia khususnya dengan mengungkayahkan usaha niaga berasaskan sektor seni, sastera, budaya dan warisan dalam kerangka pengembangan industri kreatif.

Dengan bazar tersebut, MBB ingin memperkenalkan potensi dan produk seni, sastera, budaya dan warisan Brunei kepada awam dengan pendekatan POP – Potensi, Obligasi dan Partisipasi.

Bazar juga bertujuan untuk memeriahkan dan mempelbagaikan bentuk kegiatan sosial Program Bandarku Ceria dengan menggunakan sarana dan wadah yang sedia ada, di samping berusaha untuk mengimarah dan menyokong program pengisytiharan Bandar Seri Begawan sebagai Bandar raya Kebudayaan ASEAN (ASEAN Cultural City) bagi tempoh dua tahun, 2016-2017 dengan pelbagai pendekatan keusahawanan.

Orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung untuk menyaksikan Bazar Ekspresi Seni yang beroperasi pada setiap hari Ahad sempena Program Bandarku Ceria bermula jam 6 pagi hingga 5 petang.

Semasa Program Bandarku Ceria, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkesempatan meninjau Bazar Ekspresi Seni yang dianjurkan oleh MBB.
Semasa Program Bandarku Ceria, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkesempatan meninjau Bazar Ekspresi Seni yang dianjurkan oleh MBB.