Bazar Geylang diperluas ke Eunos

Bazar Geylang diperluas ke Eunos

SINGAPURA, 3 Jan (BHS) – Bazar Hari Raya Geylang Serai mungkin diluaskan ke kawasan Eunos tahun ini memandangkan beberapa kawasan bazar yang sedia ada akan menjalani projek pembangunan.

Menyatakan demikian, Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef, berkata kawasan tanah lapang dekat bangunan SingPost dan kawasan di hadapan pusat beli-belah City Plaza akan dibangunkan menjadi tempat kediaman, kawasan komersial, runcit dan panggung wayang. Ia kini dikepung bagi membolehkan kerja pembinaan dilaksanakan.

“Kita sedang merancang dan mengadakan mesyuarat dengan agensi-agensi dan melihat sama ada kita harus meluaskan lagi kawasan bazar ke daerah Eunos,” kata Dr Fatimah merujuk kepada kawasan tanah lapang dekat terminal bas Eunos.

Beliau menambah bahawa pihaknya juga sedang berunding bersama agensi bagi melihat sama ada mereka boleh memanfaatkan sebahagian kawasan tanah lapang di Wisma Geylang Serai bagi bazar tahun ini.

Namun, kawasan dekat pusat beli-belah Tanjong Katong Complex, Haig Road dan Onan Road masih boleh terus menjadi kawasan bazar Hari Raya, katanya.

Sementara itu, mesyuarat juga akan diadakan bulan ini bagi membincangkan tentang desain dan corak lampu Hari Raya tahun ini.

“Jadi dalam tiga, empat tahun ini, banyak yang akan berlaku dan prasarana akan mula berubah. Satu sambungan bawah tanah juga akan dibina,” kata beliau.

Dr. Fatimah turut mengongsi beberapa lagi pembangunan yang sedang diadakan di kawasan undinya.

Antaranya Program Pembaharuan Kejiranan (NRP) dan Program Peningkatan Rumah (HIP) yang sedang diadakan di empat kawasan perumahan buat penduduk.

Program Peningkatan Estet (EUP) juga akan dilaksanakan bagi kediaman swasta di Haig Road, kawasan Tanjong Katong dan Onan Road.

Dari segi kegiatan dan program pula, Dr Fatimah berkata usaha akan dilaksanakan untuk memperkukuh program sedia ada, seperti program kesihatan bagi masyarakat.

Satu siri dialog aspirasi Singapura bersama penduduk juga akan terus diadakan bagi mengumpul pandangan tentang aspirasi mereka buat negara bagi tahun-tahun mendatang.

Sekitar 30 hingga 40 sesi dialog itu akan diadakan dalam tempoh enam bulan, kata Dr Fatimah.