Bazar Jualan Amal sempena Hari Keluarga

Bazar Jualan Amal sempena Hari Keluarga

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Bazar Jualan Amal selama empat hari sempena Sambutan Hari Keluarga anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiulap, Mukim Gadong ‘B’ telah dirasmikan hari ini, di Taman Jubli Perak, Kampung Kiulap.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim yang seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta bazar dan menyerahkan derma kepada anak-anak yatim.

Jualan amal sehingga 29 Mei itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, jabatan-jabatan kerajaan serta persatuan-persatuan dan sekolah-sekolah, turut diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna, persembahan magis dan pentas, pameran reptilia, sukan ria seperti tarik kalat, pertandingan dan pameran membuat kikik, serta pelbagai jenis jualan makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Antara tujuan bazar ini diadakan adalah untuk memberi sumbangan kepada tabung anak-anak yatim Kampung Kiulap di samping menggalakkan dan memupuk minat masyarakat Brunei untuk melakukan kerja-kerja amal dengan harapan agar trend amalan berkebajikan ini dapat diperkukuhkan dan dipertingkatkan.

Awang Misle menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta bazar
Awang Misle menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta bazar

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para peniaga kecil dan sederhana untuk berniaga sambil beramal serta mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa kampung dan jabatan-jabatan kerajaan, ahli-ahli sekolah, badan persatuan dan orang ramai.

Bazar itu mula beroperasi jam 9 pagi sehingga 9 malam dan pada hari Jumaat bermula 9 pagi sehingga 12 tengah hari dan disambung semula pada jam 2 petang sehingga 9 malam.

ARTIKEL YANG SAMA