Bazar Ria Aidiladha buka tirai

Bazar Ria Aidiladha buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Bazar Ria Aidiladha anjuran Rayyan Event Management dengan kerjasama Hotel Times telah membuka tirainya hari ini di Lobi Hotel Times, petang tadi.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Pengerusi bazar, Awang Muhammad Firdaus bin Haji Ibrahim dalam ucapannya menyatakan bahawa bazar ini akan berlangsung selama lima hari sehingga 4 September nanti.

Menurut beliau, bazar ini bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung agar Hotel Times lebih dikenali, di samping menyokong usahawan-usahawan tempatan di negara ini bagi memasarkan produk-produk jualan mereka.

Awang Muhammad Firdaus (kiri), Haji Idris dan Dayang Masnonie ketika meninjau ke petak-petak pameran.
Awang Muhammad Firdaus (kiri), Haji Idris dan Dayang Masnonie ketika meninjau ke petak-petak pameran.
Haji Idris ketika meninjau salah satu petak jualan di bazar berkenaan.
Haji Idris ketika meninjau salah satu petak jualan di bazar berkenaan.

Selain itu, ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara usahawan tempatan dan para pengunjung, di samping untuk menyahut titah Baginda Sultan dalam usaha mempelbagaikan ekonomi melalui perusahaan kecil dan sederhana.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa sebahagian daripada yuran yang dikutip daripada para peniaga yang menyertai bazar ini dan sumbangan ikhlas daripada orang ramai yang datang untuk memeriahkan bazar berkenaan akan disalurkan ke Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim.

Antara pengunjung yang meninjau petak-petak jualan yang terdapat di bazar itu.
Antara pengunjung yang meninjau petak-petak jualan yang terdapat di bazar itu.

Beliau menjelaskan lagi bahawa bazar ini disertai oleh 20 orang peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai jenis produk seperti makanan, minuman, baju-baju fesyen, baju kanak-kanak dan banyak lagi.

Manakala itu, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bazar ini termasuk cabutan bertuah bagi para pengunjung yang membuat pembelian, dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti baucar penginapan di Hotel Times tajaan Hotel Times Management, peraduan mewarna serta pameran kucing.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengurus Besar Hotel Times, Dayang Masnonie binti Haji Salamat.

Selepas menyempurnakan perasmian, tetamu kehormat turut melawat ke petak-petak pameran.

ARTIKEL YANG SAMA