Bazar Ria Kelab Amal Amali hingga 17 Mei

Bazar Ria Kelab Amal Amali hingga 17 Mei

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Kelab Amal Amali, yang baru ditubuhkan April lalu di bawah pemantauan Pusat Belia Bandar Seri Begawan, buat pertamanya kalinya menganjurkan Bazar Ria Kelab Amal Amali bermula hari ini hingga 17 Mei di kawasan letak kereta Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Yang Dipertua Kelab Amal Amali, Dayang Siti Noor Dzuhainah binti Haji Damit, merasmikan bazar berkenaan yang diikuti dengan acara senamrobik beramai-ramai.

Menurut kenyataan penganjur, pelbagai pertandingan dan aktiviti akan diadakan sepanjang bazar lapan hari ini antaranya Pertandingan Mewarna, Pertandingan Kereta Tamiya Mini 4WD dan Pertandingan Tamiya Grand Prix Ke Jepun

Aktiviti lain termasuk Pameran Kereta Retro Brunei, Pesta Keluarga dan Kuiz Ria Amal Amali, Pertandingan Cosplay dan Busking, pertunjukan haiwan peliharaan eksotik dan reptilia, persembahan tausyeh dan rumah hantu.

Sepanjang bazar berkenaan, pengunjung juga akan berpeluang untuk mendapatkan baucar percuma daripada Choco Nano.

Antara peserta bazar yang diadakan di kawasan letak kereta Stadium Tertutup, Berakas.
Antara peserta bazar yang diadakan di kawasan letak kereta Stadium Tertutup, Berakas.

pg06_150511_d

Pendaftaran bagi pertandingan berwarna boleh dibuat di kaunter pertanyaan kelab berkenaan di bazar itu, yang mana pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori suka-suka dan kategori berbentuk pertandingan, dan ia hanya dibukakan kepada kanak-kanak.

Untuk keterangan lanjut atau aktiviti kelab akan datang, orang ramai boleh menghubungi talian 827 9935 atau 815 9913 atau menghantar e-mel ke alamat dszhad@gmail.com.

Bazar Ria Kelab Amal Amali ini dianjurkan bersama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan dibantu oleh Syarikat Pengurusan Acara Rock Solid dan Syarikat Hiburan DSZ, serta disokong oleh Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgia, Brunei Tamiya dan Syarikat De’Heritage and Achievers.

ARTIKEL YANG SAMA