BBA sertai Kejohanan Piala Borneo 22- 24 Julai

BBA sertai Kejohanan Piala Borneo 22- 24 Julai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Persatuan Bola Keranjang Negara Brunei darussalam (BBA) mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Piala Borneo yang akan diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 22 hingga 24 Julai ini nanti.

Persatuan berkenaan akan menyenaraikan pemain yang bakal menggalas tanggungjawab negara di dalam kejohanan berkenaan dalam tiga kategori antaranya Lelaki Terbuka, Perempuan Terbuka dan Kategori Veteran.

Perkara itu ditegaskan di dalam sidang media kelmarin yang dipengerusikan oleh Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Negara Brunei Darussalam, Lim Ting Guan di Dewan Bola Keranjang batu bersurat di sini.

Sehubungan dengan itu juga, BBA juga turut mengumumkan mengenai pencarian jurulatih bagi skuad kebangsaan Negara Brunei Darussalam dalam penyertaan kejohanan yang bakal disertai skuad negara.

“Setelah mendapat persetujuan dan kata putus antara persatuan Jabatan Belia dan Sukan, sudah tiba masanya kita mencari seorang jurulatih tempatan yang berusia di antara 25 hingga 40 tahun,” ujar wakil bercakap BBA.

Menurut kenyataan persatuan berkenaan lagi, calon perlulah warganegara Brunei atau penduduk tetap negara ini dan mereka boleh memohon sama ada untuk menjadi jurulatih sepenuh masa atau separuh masa sahaja.

“Mereka yang berminat hanya perlu menghantarkan sijil kepada Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam dalam tempoh sebulan bermula semalam (10 Mei 2016) dan mereka yang berminat perulah mempunyai persijilan kejurulatihan yang diiktiraf BBA dan Persatuan Bola Keranjang Antarabangsa peringkat pertama sehingga peringkat ketiga,” tegas BBA lagi.

Selain daripada itu pengalaman mengurus dan melatih pasukan adalah satu kelebihan dan jurulatih yang terpilih akan menjalani latihan dan akan diberikan penilaian serta akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum memegang jawatan berkenaan sepenuhnya.

Bagi mereka yang ingin membuat sebarang pertanyaan, mereka bolehlah menghubungi Ketua Lokasi, Ang Eng Kee di talian 9907449.