BBA, Sharks juara kejohanan bola keranjang

BBA, Sharks juara kejohanan bola keranjang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Pasukan bola keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) muncul juara bagi Kategori Tertutup manakala pasukan bola Keranjang Sharks juara Kategori Terbuka setelah berjaya menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan akhir, Kejohanan Bola Keranjang Persatuan CHMS Alumni 2015 yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei, Batu Bersurat, kelmarin.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam Kategori Terbuka bagi kejohanan berkenaan ialah Dato Lim Beng Thai.

Dalam perlawanan akhir pertama bagi Kategori Tertutup, Pasukan BBA menentang Pasukan Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei dengan Pasukan BBA terpaksa mengharungi beberapa saat gementar di awal perlawanan sebelum menang selesa dengan kiraan mata, 88-69.

Manakala itu, dalam perlawanan akhir kedua bagi Kategori Terbuka, menyaksikan dua pasukan yang sama hebat beraksi iaitu Pasukan Sharks menentang Pasukan NUK di mana kedua pasukan saling berbalas-balas jaringan hingga ke suku akhir di mana Pasukan Sharks berjaya untuk menewaskan Pasukan NUK, 105-101.

Pasukan BBA yang menjuarai kategori tertutup kejohanan itu.
Pasukan BBA yang menjuarai kategori tertutup kejohanan itu.

Sementara itu, bagi Kategori Tertutup, Pasukan Persatuan Hainan Brunei menduduki tempat ketiga manakala Pasukan Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan (CHMS Alumni) menduduki tempat keempat.

Bagi Kategori Terbuka pula, Pasukan Ideal berjaya menduduki tempat ketiga manakala Pasukan Digi Mark menduduki tempat keempat.

Kejohanan itu merupakan salah satu acara sukan dalam Karnival Sukan CHMS Alumni 2015 di mana ia memberikan peluang kepada bekas pelajar-pelajar CHMS dan juga ahli-ahli muda persatuan itu untuk sama-sama tampil dan mengambil bahagian dalam acara sukan berkenaan.

Kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam (BBA) bukan sahaja di harap dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturahim di antara ahli persatuan dengan orang ramai tetapi juga memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat persatuan berkenaan serta untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat melalui acara sukan.

ARTIKEL YANG SAMA