BCC juara berpasukan

BCC juara berpasukan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Kelab Lumba Basikal Belait (BCC) hari ini mencatatkan kemenangan manis apabila diumumkan sebagai johan acara berpasukan di dalam Cabaran Lumba Basikal LOF ke-5 Tahun 2015 di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Tempat kedua dalam kategori berpasukan pula disandang oleh Pasukan Lumba Basikal Modesto B (MCT) yang mencabar rapat BCC, dan tampil di tempat ketiga pula Pasukan Lumba Basikal Kedayan A (KCT).

Terdahulu dalam Perlumbaan Elite, Mohammad Radzi Tamat jauh meninggalkan semua pelumba lain untuk menawan takhta bahagian itu meninggalkan Lau Cze Kuang dari MCT B yang terpaksa akur di tempat kedua dan disusuli Muhammad Norisman Ismail dari Pasukan Lumba Basikal Jati yang meraih tempat ketiga. Dalam Perlumbaan Junior pula, KCT tampil gah apabila dua pelumbanya Mohd Haziq Haji Herman dan Mohd Hamizah Haji Herman berada di dua tangga teratas dan dicabar oleh penyandang tempat ketiga, Muhammad Faesal Firdaus dan Mohd Nurfadillah daripada LMCT A.

Gambar ramai pasukan juara, naib juara dan tempat ketiga bersama-sama Yang Berhormat Pehin Haji Yahya.
Gambar ramai pasukan juara, naib juara dan tempat ketiga bersama-sama Yang Berhormat Pehin Haji Yahya.

Sementara itu dalam Perlumbaan Master pula, Chieng Chiew Lie dari MCT B berada di hadapan untuk meninggalkan peserta daripada G530 A, Alexander Marcelo Polistico Senones yang di tempat kedua dan tempat ketiga pula disandang ahli Pasukan Modesto Teo Thian Tze. Dalam majlis itu turut menyaksikan beberapa peserta persendirian menerima hadiah khas antaranya bagi hadiah Raja Pecut disandang oleh Amiruddin daripada JB yang disusuli oleh Radzi Tamat daripada BCC dan Mohd Hamizan Haji Herman dari KCT A.

Sementara itu, Raja Gunung juga disandang oleh Amiruddin daripada JB, diikuti oleh Radzi Tamat di tempat kedua dan Kau Cze Kuang daripada MCT di tempat ketiga. Sebanyak 22 pasukan menyertai kejohanan itu kali ini dengan mencatatkan 176 pelumba menyertai kejohanan ke-5 yang dibahagikan kepada empat kategori dan sejauh 107 kilometer.

Kejohanan anjuran LOF Bakery itu dijayakan bersama oleh Persekutuan Lumba Basikal Brunei Darussalam dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antaranya menawarkan hadiah pingat dan wang tunai. Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah di akhir majlis ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

ARTIKEL YANG SAMA