BDAC mulakan perkhidmatan

BDAC mulakan perkhidmatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Pusat Timbangtara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Arbitration Centre – BDAC), yang berperanan sebagai alternatif kepada penyelesaian pertikaian yang lazimnya dibuat melalui prosiding sivil di mahkamah, telah memulakan perkhidmatannya di Tingkat 8, Bangunan BEDB, Jalan Kumbang Pasang, di sini.

Pembukaan pusat tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mendukung inisiatif-inisiatif yang berkaitan dengan usaha meningkatkan iklim perniagaan di Negara Brunei Darussalam agar ianya lebih kondusif.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pusat tersebut menyediakan perkhidmatan dan pentadbiran timbangtara dan juga pengantaraan (mediation) bagi memenuhi keperluan pengguna-pengguna domestik dan antarabangsa berhubung dengan pertikaian-pertikaian komersil.

Sebagai sebuah pusat yang baru ditubuhkan, BDAC menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi memenuhi keperluan dan permintaan sebagai pusat perkhidmatan alternatif bagi penyelesaian sebarang pertikaian komersial atau kontraktual di antara pihak-pihak yang menjalin ikatan komersial atau kontraktual.

Pusat ini turut menyediakan kemudahan-kemudahan utama seperti Bilik Perbincangan Pertikaian (Hearing Rooms) yang dilengkapi dengan sistem audio visual bagi memudah-cara perkhidmatan timbangtara.

Turut disediakan termasuklah kemudahan-kemudahan khusus kepada penimbangtara-penimbangtara termasuk Bilik-Bilik Persediaan (Preparation Rooms) dan juga Bilik-Bilik Penterjemah (Translator Rooms).

Kemudahan-kemudahan ini sedia untuk digunakan oleh pihak-pihak yang mempunyai pertikaian komersil yang sudah mempunyai atau melantik penimbangtara (arbitrator) dan peguam mereka masing-masing.

Bagi yang berhasrat ingin mengetahui perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan BDAC, bolehlah mengunjungi pusat tersebut dan untuk keterangan lanjut mengenai Pusat Timbangtara berkenaan bolehlah melayari laman sesawang BDAC berikut, www.bdac.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA