BDAF anjur Hari Olahraga Sedunia 29 Mei ini

BDAF anjur Hari Olahraga Sedunia 29 Mei ini

Oleh Emmielia Zaini

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF) akan menganjurkan Hari Olahraga Sedunia yang akan dijadualkan diadakan pada hari Ahad, 29 Mei ini bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dengan tema ‘Olahraga Untuk Dunia Yang Lebih Baik.’

Hasil daripada permesyuaratan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tertinggi BDAF baru-baru ini, lebih 200 orang olahragawan dan olahragawati di bawah umur 18 tahun dari Maktab SOAS, Sekolah Menengah SMJA dan Sekolah Sukan akan bersaing secara berkumpulan untuk merebut gelaran juara.

Acara tersebut akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu bagi peserta lelaki dan wanita yang berumur 16 hingga 17 tahun dan yang berumur 13 hingga ke 15 tahun.

Antara kategori yang dipertandingkan dalam Kategori Lelaki 16 hingga 17 tahun ialah larian 100m, 200m, 400m, 800m, Lompat Tinggi, 5Kg lontar peluru dan 700g rejam lembing, manakala bagi Kategori Perempuan pula ialah Larian 100m, 200m, 400m, 800m, Lompat Tinggi, 4Kg lontar peluru dan 600g rejam lembing.

Bagi Kategori Lelaki 13 hingga 15 tahun pula ialah larian 50m, 50m berintangan, 100m lumba berjalan kaki, Lompat Jauh, 4Kg lontar peluru dan Larian berganti 4x50m.

Manakala bagi Kategori Perempuan 13 hingga 15 tahun, acara yang dipertandingkan ialah larian 50m, 50m berintangan, 100m lumba berjalan kaki, Lompat Jauh, 3kg lontar peluru dan Larian berganti 4x50m.

Kategori Olahraga Kanak-kanak juga akan diadakan bagi penuntut-penuntut dari Sekolah Rendah (SR) Anggerek, SR Pulaie, SR Amar Pahlawan dan SR Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah secara berkumpulan.

Selain itu juga, Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei (BDNOC), Brunei Darussalam Anti Doping Committee dan Elite Athletes Photo Booths akan menyediakan ruang tersendiri bagi memudahkan pengunjung untuk mengetahui secara lebih lanjut khidmat yang disediakan oleh BDNOC dan Brunei Darussalam Anti-Doping Committee.

Para pengunjung juga berpeluang untuk bersuai kenal dengan olahragawan dan olahragawati Brunei Darussalam dan juga mengambil gambar bersama para atlet di Elite Athletes Photo Booths semasa acara tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA