BDYA diterima sebagai ahli WS

BDYA diterima sebagai ahli WS

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Persatuan Kapal Layar Brunei Darussalam (BDYA) yang telah diiktiraf oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BNOC), baru-baru ini telah diterima sebagai ahli penuh Pelayaran Dunia (WS) yang sebelum ini dikenali sebagai Federasi Pelayaran Antarabangsa (ISAF).

Sehubungan itu, Presiden BDYA, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas baru-baru ini telah menghadiri Perhimpunan Agung WS di Barcelona, Sepanyol yang ditemani oleh Naib Presiden BDYA, Bohari Abdullah.

Pada perhimpunan tersebut, BDYA yang memiliki hak mengundi dalam perhimpunan agung itu turut serta dalam memilih presiden baru dan tujuh naib presiden WS di mana Kim Andersen telah dilantik sebagai Presiden WS bagi tempoh empat tahun.

Menurut kenyataan BDYA, Dato Paduka Ar. Haji Idris melahirkan rasa penghargaannya buat BDYA sebagai ahli Federasi Pelayaran Asia (ASAF) dan WS di mana BDYA kini boleh memanfaatkannya dalam menyertai acara-acara pelayaran yang dianjurkan oleh ASAF dan WS, di samping mendapat urus tadbir dan bantuan teknikal daripada persatuan-persatuan tersebut.

Dato Paduka Ar. Haji Idris (kiri) bersama Kim Andersen pada Perhimpunan Agung WS di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini.
Dato Paduka Ar. Haji Idris (kiri) bersama Kim Andersen pada Perhimpunan Agung WS di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini.

Beliau yang juga Yang Di-Pertua Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam juga merancang untuk melanjutkan program pelayaran kepada ahli-ahli Pengakap Laut Brunei.

BDYA sebelum ini turut serta dalam Regatta Terbuka Bandar Kota Kinabalu ke-15 dan memenangi tempat kedua keseluruhan dalam Kategori Laser dan tahun ini juga menyertai kejohanan sama di mana BDYA telah memenangi tempat kedua keseluruhan dalam Kategori Luncur Angin.

Selain itu, BDYA juga mewakili Brunei dalam Sukan SEA ke-28 di Singapura dalam Kategori Laser dan Optimis dan kini BDYA juga dalam persiapan untuk melayakkan diri untuk menyertai Sukan SEA dalam acara pelayaran di Langkawi tahun depan.