Beaufort bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir

Beaufort bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir

KOTA KINABALU, 6 Ogos – Jawatankuasa Bencana Daerah Beaufort bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir di daerah itu jika hujan berterusan.

Pengerusinya Mohd Sahid Othman yang juga Pegawai Daerah Beaufort berkata, walaupun daerah itu mengalami hujan berterusan sejak beberapa hari ini, paras air Sungai Padas masih pada paras normal.

“Setakat ini, keadaan masih normal. Tetapi kami sentiasa memantau keadaan paras air Sungai Padas.

“Pihak berkaitan dalam persiapan menghadapi banjir didaerah ini sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beaufort merupakan antara daerah yang sering dilanda banjir setiap kali berlaku hujan berterusan.

Pada Januari lalu, daerah Beaufort, Membakut, Tenom, Sipitang dan Papar terjejas teruk akibat banjir yang turut memusnahkan beberapa rumah, sekolah dan hasil pertanian.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, beberapa bahagian di pedalaman Sabah, Kuala Penyu, Beaufort dan Sipitang serta Labuan, diramal mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dan ia dijangka berterusan sehingga awal malam ini. – Bernama