Beban tugas guru dikurangkan

Beban tugas guru dikurangkan

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Di beberapa sekolah, pada masa ini, guru-guru yang mempunyai bebanan mengajar 30 waktu (period) atau lebih akan dikurangkan beban tugas bukan mengajar (non-teaching responsibilities) mereka.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman menjelaskan, pembahagian tugas bukan mengajar ini diberikan kepada beberapa orang guru sebagai pendedahan bagi mengenal pasti potensi dan kompetensi mereka dalam bidang-bidang perguruan dan kepimpinan sebagai persediaan untuk melapis kepimpinan sekolah pada masa akan datang.

Kementerian Pendidikan dan Jabatan Sekolah-Sekolah, katanya, mengamalkan sikap terbuka terhadap isu 30 period ini.

“Guru yang berasa mereka dibebankan mengajar 30 waktu (period), tanggungjawab-tanggungjawab lain mereka bolehlah berunding dengan pengetua atau guru besar masing-masing kerana ini adalah isu dalaman pentadbiran masing-masing sekolah itu.

“Kita yakin pihak sekolah ingin melihat semua guru-guru dan kakitangannya senang dan gembira mengajar di sekolah tanpa dibebankan dengan tanggungjawab-tanggungjawab yang mereka fikirkan mereka tidak dapat melaksanakan.”

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menerangkan hal berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menerangkan hal berkenaan.

Jadi dalam perkara ini, jika masih ada guru-guru yang merasa dibebankan dengan mengajar lebih daripada 30 period dengan baik, bolehlah dirundingkan dengan pengetua dan guru besar masing-masing untuk mencari penyelesaian.

Yang Berhormat Pehin menekankan perkara ini ketika menjawab persoalan mengenai sungutan daripada guru-guru terutama sekali di sekolah-sekolah yang kekurangan guru sejak peraturan guru-guru mengajar sebanyak 30 period diperkenalkan, yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Haji A. Ahmad bin Husain pada hari ketujuh Majlis Mesyuarat Negara bersidang, hari ini.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa terdapat kurang pemahaman mengenai peraturan guru-guru mengajar sebanyak 30 period yang menjadi sungutan sebilangan guru.

Katanya, peraturan mengajar 30 period bukanlah satu perkara baru, arahan ini telah pun diperkenalkan semenjak tahun 1997, lebih tepat lagi pada 6 Oktober 1997 melalui garis pandu bebanan mengajar.

Dalam memorandum tersebut mengarahkan setiap guru atau pelajaran untuk mengajar 28 waktu seminggu iaitu mengajar 28 waktu seminggu bagi lukisan, 30 waktu seminggu bagi guru bahasa, dan seramai 100 pelajar bagi setiap guru dan dengan satu waktu selama 30 minit.

Yang Berhormat Pehin juga memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan telah menjalankan kajian bebanan mengajar para guru dan hasil kajian daripada tersebut didapati beban mengajar guru-guru di Brunei pada masa ini adalah masih kurang daripada kebiasaan berbanding dengan guru-guru di negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

“Kementerian Pendidikan sentiasa memantau beban mengajar ini bagi memastikan kesejahteraan para guru.

“Pada bulan November 2015, pengamatan beban mengajar guru mendapati bahawa 27.4 peratus di sekolah-sekolah rendah dan 12.1 peratus di sekolah-sekolah menengah mempunyai beban mengajar melebihi 30 period.

“Atas usaha Jabatan Sekolah-sekolah, beberapa penyelarasan telah dibuat sehingga dalam pertengahan bulan Februari 2016, peratus tersebut telah menurun kepada 9.3 peratus di sekolah-sekolah rendah dan 7.2 peratus di sekolah-sekolah menengah,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

ARTIKEL YANG SAMA