Beberapa bangunan retak berikutan gempa

Beberapa bangunan retak berikutan gempa

GEORGE TOWN, 7 Jun (Bernama) – Hospital Ranau dan sekurang-kurangnya sembilan buah klinik di sekitar daerah Ranau, Tuaran dan Papar, Sabah dikesan mengalami kerosakan akibat gempa bumi di Sabah pada Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kuarters empat tingkat di Hospital Ranau turut mengalami keretakan di bahagian dinding dan telah dikosongkan.

Selain itu siling di bahagian pesakit luar (OPD) di hospital tersebut turut runtuh dengan lampu dan kipasnya tercabut namun tiada kecederaan dilaporkan, katanya.

“Jurutera sedang buat penilaian kerosakan terlibat dan saya berhasrat untuk ke sana bagi melihat sendiri keadaan fasiliti yang terjejas dan perkembangan penduduk di sana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Klinik yang retak di Papar ialah Klinik Daerah Lohan, Klinik Kesihatan Bundu Tuhan, Klinik Kesihatan Kundasang, Klinik Daerah Terolobou, Klinik Daerah Rondogung dan Klinik Daerah Pinawantai.

Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat kawasan yang terjejas gempa. – Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat kawasan yang terjejas gempa. – Bernama

Klinik Kesihatan Ibu dan Anak turut mengalami keretakan pada dinding di pintu utama.

Manakala di Tuaran, ia melibatkan Klinik Daerah Bantayan Tamparuli dan Klinik Daerah Kelawat yang mengalami keretakan pada tangga serta tiang selain terdapat kesan rekahan pada kuarters Klinik Kesihatan Simpangan.

Dr Hilmi berkata setakat ini pihaknya menempatkan tiga pasukan di ‘Medical Base Timpohon’ yang terletak di kaki Gunung Kinabalu yang terdiri daripada pakar, doktor, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan sokongan.

“Setakat ini kita menerima 13 mayat dan kesemua mereka telah dikenal pasti serta empat bahagian anggota badan dipercayai dari mangsa berlainan,” katanya.

Semalam sejumlah 11 mayat ditemui di kawasan Gunung Kinabalu menjadikan jumlah mangsa terkorban akibat bencana itu ialah 13 orang manakala enam pendaki masih hilang.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi Jumaat itu, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda kawasan Ranau menjadikannya gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran kecil di empat kawasan lain iaitu di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.