Beberapa kesalahan lalu lintas didapati

Beberapa kesalahan lalu lintas didapati

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 27 Sept – Beberapa lagi kesalahan lalu lintas didapati semasa Operasi Pencegahan Jenayah dan Sekatan Jalan Raya yang dijalankan buat kali ketiga berturut-turut minggu ini bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan, di sini, malam tadi.

Antara kesalahan lalu lintas yang didapati termasuklah lampu plat lesen tidak menyala (5 kes), silinder kenderaan berbunyi bising (1), tidak menampal cukai jalan (3), nombor plat lesen tidak mengikut peraturan (3) dan tayar lebar daripada mud guard (1).

Dalam operasi kira-kira tiga jam itu, bagaimanapun, tidak menemukan sebarang kesalahan jenayah, cuma menemui beberapa orang kanak-kanak dan seorang warga asing sedang merayau-rayau di kawasan perumahan sewaktu pemeriksaan rondaan dilakukan dan mereka telah dibawa ke balai polis untuk siasatan dan telah dibebaskan ekoran didapati tidak ada kaitan dengan sebarang tujuan jenayah serta diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

Operasi yang melibatkan penyertaan seramai 72 anggota polis termasuk dari Balai Polis Kuala Belait, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas Batu 3, Balai Polis Seria, Balai Polis Sungai Liang, Balai Polis Labi dan Polis Keselamatan Padang Minyak LNG Lumut serta sembilan orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1 itu termasuk pemeriksaan rondaan berjalan kaki dan sekatan jalan raya di beberapa kawasan termasuk kawasan Masjid Kampung Pandan 7 hingga ke Pandan 8, Jalan Maulana Kuala Belait dekat simpang Pandan 8, kawasan F4/F5 Jalan Tengah, dan kawasan Kampung Sungai Kayu Ara Lumut, Sungai Bakong serta Kampung Sungai Liang.

Seramai 72 orang anggota polis dan sembilan orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1, terlibat dalam operasi tersebut.
Seramai 72 orang anggota polis dan sembilan orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1, terlibat dalam operasi tersebut.
Ketika operasi dijalankan.
Ketika operasi dijalankan.

Ia diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Ariffin bin Haji Jafaruddin dan turut disertai pegawai-pegawai penguasa balai-balai Daerah Polis Belait, serta Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad.

Turut serta dalam operasi yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi itu, ialah lapan orang anggota Skuad Tindakan Segera Ibu Pejabat Panaga, seorang anggota Unit Perhubungan Awam Polis bagi mengendalikan tugas bersama pihak media.

Sementara itu, pada 25 September yang lalu, operasi seumpamanya turut diadakan dengan melibatkan 52 anggota polis dari Balai Polis Kuala Belait, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas Batu 3, Balai Polis Sungai Liang, Balai Polis Labi, Polis Keselamatan Padang Minyak LNG Lumut, Skuad Tindakan Segera Ibu Pejabat Panaga dan Unit Perhubungan Awam Polis Belait serta empat ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang

Dalam operasi yang berakhir kira-kira pukul 2 pagi itu, lapan kesalahan lalu lintas telah dicatatkan termasuk tiga kes lampu plat lesen tidak menyala, satu kes hon kenderaan tidak berfungsi, dua kes tidak menampal cukai jalan dan dua kes nombor plat lesen tidak mengikut peraturan, bagaimanapun, tiada sebarang kesalahan jenayah dilaporkan. Operasi yang turut diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Ariffin itu turut disertai Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Ibrahim bin Dato Maharaja Setia Dian.

Operasi seperti itu akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas dan sentiasa bertolak ansur ketika memandu serta mencegah kes kemalangan di samping mencegah segala aktiviti jenayah.

ARTIKEL YANG SAMA