Beberapa perlawanan AFC diubah

Beberapa perlawanan AFC diubah

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Empat perlawanan Festival Bolasepak Bawah 14 Tahun (B-14) Serantau AFC 2016 yang pada asalnya dijadualkan bermula pada pukul 7:30 pagi telah diubah kepada 9 pagi menerusi persetujuan bersama semua pengurus pasukan semasa Mesyuarat Penyelarasan Festival (Mesyuarat Pengurus Pasukan) petang ini.

Dua perlawanan yang berubah masa itu akan berlangsung esok, Selasa, 26 Julai iaitu perlawanan pertama, Thailand lawan Vietnam di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) dan perlawanan kedua, Filipina lawan Kemboja di Kompleks Sukan Berakas (KSB).

Manakala dua lagi perlawanan yang terlibat akan berlangsung pada Sabtu, 30 Julai iaitu perlawanan ke-17, Filipina lawan Timor Leste di Padang & Balapan, KSNHB dan perlawanan ke-18, Singapura lawan Vietnam di KSB.

Mesyuarat di Hotel Orchid Garden berkenaan telah dipengerusikan oleh Pengurus Festival AFC, Dr. Shamil Kamil Mohammed, sambil diiringi Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Badarudin.

Dr. Shamil (tiga dari kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan festival berkenaan.
Dr. Shamil (tiga dari kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan festival berkenaan.
Kalangan pengurus pasukan dari 10 negara yang menyertai Festival Bolasepak B-14 Serantau AFC 2016 semasa mesyuarat berkenaan.
Kalangan pengurus pasukan dari 10 negara yang menyertai Festival Bolasepak B-14 Serantau AFC 2016 semasa mesyuarat berkenaan.

Hadir sama ialah Instruktor dan Penilai Pengadil AFC, Ismail Adnan Ismail Alhafi dari Jordan, Instruktor Pengadil AFC, Hakan Anaz dari Australia dan Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali.

Festival berkenaan akan dibuka rasmi pada pukul 4:15 petang esok (26 Julai) di Padang & Balapan, KSNHB yang akan diteruskan dengan perlawanan pasukan tuan rumah, Brunei Darussalam dengan Myanmar bermula pukul 4:45 petang.

Pada masa yang sama di KSB pula akan menyaksikan perlawanan antara Timor Leste dengan Malaysia.

Sebanyak 10 pasukan yang menyertai festival kali ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan A mengandungi Brunei Darussalam, Myanmar, Vietnam, Thailand dan Singapura, sementara Kumpulan B diisi oleh Timor Leste, Malaysia, Kemboja, Filipina dan Laos.

ARTIKEL YANG SAMA