Beberapa spesies ikan akan dieksport

Beberapa spesies ikan akan dieksport

KOTA KINABALU, 12 Feb – Beberapa spesies ikan ternak akan dibenarkan untuk dieksport ke luar negeri dalam keadaan hidup , kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata antara spesies itu ialah ikan kerapu harimau dan kertang.

“Industri ternakan ikan hidup spesies tersebut telah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan selain membantu imbangan dagangan,” katanya dalam kenyataan di sini, sebagai mengulas mengenai larangan mengeksport makanan laut segar keluar Sabah.

Katanya larangan mengeksport ikan hidup itu bertujuan memastikan bekalan ikan segar di Sabah mencukupi untuk keperluan rakyat dan pelancong asing.

Dengan adanya larangan itu, rakyat negeri ini akan dapat menikmati ikan segar yang berkualiti dengan harga lebih murah, katanya.

Kerapu Harimau yang akan dieksport ke luar negeri dalam keadaan hidup.
Kerapu Harimau yang akan dieksport ke luar negeri dalam keadaan hidup.

Bagaimanapun, katanya, larangan eksport itu tidak termasuk ikan dalam kategori beku dan yang diproses seperti isi ikan.

Katanya 65 peratus ikan segar dipasarkan ke Semenanjung seperti pelagik kecil (basung, rumahan, tamban), tuna (yellowfin and bigeye), merah dan kerapu. – Bernama