Bebuloh FC belasah Kilugus FC 8-2

Bebuloh FC belasah Kilugus FC 8-2

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Bebuloh FC menamatkan kempennya di peringkat kumpulan Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 malam tadi dengan berpesta gol apabila membelasah Kilugus FC dengan jaringan 8-2.

Pada aksi Kumpulan C di Kompleks Sukan Sungai Kebun itu, perlawanan separuh masa pertama nampak seimbang dengan hanya satu gol membezakan kedua-dua pasukan ketika perlawanan memasuki masa rehat iaitu pada kedudukan 2-1 yang memihak Bebuloh FC.

Bebuloh FC yang membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-9 menerusi rembatan Zamrizal bin Zulkifli dan kedudukan kemudiannya menjadi 2-0 pada minit ke-39, hasil kelincahan Asmali bin Masri.

Namun berbekalkan semangat tidak berputus asa, Kilugus FC berjaya merapatkan jurang kepada 2-1 tiga minit kemudian apabila Farid bin Morshidi berjaya menewaskan penjaga gawang Bebuloh FC dengan tandukan yang cantik hasil daripada hantaran tepat rakannya.

Separuh masa kedua menyaksikan pemain Bebuloh FC semakin ghairah melakukan serangan-serangan bahaya tetapi jaringan ketiganya hanya hadir pada minit ke-57 yang disumbangkan oleh Zamrizal untuk gol kedua peribadinya.

Bebuloh FC berpesta gol menewaskan Kilugus FC 8-2 dalam Liga Bolasepak Daerah BM malam kelmarin.
Bebuloh FC berpesta gol menewaskan Kilugus FC 8-2 dalam Liga Bolasepak Daerah BM malam kelmarin.

Selang dua minit kemudian kedudukan menjadi bertambah selesa buat Bebuloh FC mendahului 4-1 menerusi jaringan kedua peribadi Asmali dan pada minit ke-66 giliran Mas Shukri bin Punchak pula mencatat namanya dalam senarai penjaring untuk membawa Bebuloh FC terus di depan, kini dengan jaringan 5-1.

Pada minit ke-84, pemain Bebuloh FC melakukan kesilapan yang sekali gus dihukum oleh Haji Herman bin Haji Ahmad untuk jaringan kedua Kilugus FC sekali gus merubah kedudukan menjadi 5-2.

Namun tatkala pemain Kilugus FC menjangkakan kedudukan 5-2 akan menjadi kedudukan muktamad, mereka tersilap kerana ternyata Bebuloh FC masih saja berjaya menjaringkan tiga gol lagi dalam tempoh enam minit.

Zamrizal mencetak hatriknya pada minit ke-88, yang disusuli dengan hatrik Asmali pada minit ke-90 dan kemudiannya diikuti dengan jaringan Aidil Ezwandy Anak Akit pada masa kecederaan, minit ke-90+2 untuk keputusan muktamad 8-2.

Kemenangan itu membolehkan Bebuloh FC naik ke tangga ketiga dengan kutipan 6 mata daripada lima permainan tetapi masih belum cukup untuk melayakkannya ke pusingan kedua.

Bebuloh FC berganti tempat dengan Plan Batu yang turut mengumpul 6 mata tetapi masih memiliki baki satu perlawanan, iaitu menentang AKSE Bersatu yang kekal menghuni tangga kedua, juga dengan 6 mata.

AKSE Bersatu lawan Plan Batu akan menjadi perlawanan penentuan siapa bakal layak selaku naib juara Kumpulan C, mengiringi DSP United yang sah mengisi slot juara Kumpulan C berbekalkan kutipan mata maksimum 15 mata.

AKSE Bersatu dan Plan Batu FC cuma dibezakan oleh perbezaan gol dengan AKSE Bersatu memiliki +4 daripada 12 jaringan dan 8 bolos, manakala Plan Batu FC mempunyai -2 daripada 6 jaringan dan 8 bolos. Maka keputusan seri dalam perlawanan antara keduanya nanti pasti akan melayakkan AKSE Bersatu ke pusingan kedua dengan kelebihan perbezaan gol.