Beckenbauer dapat AS$6.2j untuk Piala Dunia 2006

Beckenbauer dapat AS$6.2j untuk Piala Dunia 2006

FILES-FBL-GER-WC2006-CORRUPTION-BECKENBAUERBERLIN, 14 Sept – Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) berkata, Franz Beckenbauer (gambar) memperoleh bayaran secara keseluruhan AS$6.2 juta atas tugasannya membantu kejayaan negara itu dalam bidaan menganjurkan Piala Dunia 2006.

Beckenbauer sebelum ini berkata, dia bekerja atas kapasitinya tanpa sebarang bayaran dalam proses bidaan itu. Perincian pembayaran itu didedahkan dalam majalah Der Spiegel, semalam.

DFB berkata, Beckenbauer menjalankan kerja bagi agensi pertaruhan yang menjadi penaja kepada bidaan itu dan badan induk itu membuat lima pembayaran bermula daripada hasil perjanjian penajaan di antara Februari 2005 dan Oktober 2006. Kontrak asli Beckenbauer bersama DFB bermula pada 14 Oktober 2004 mengandungi bonus yang berkaitan prestasi. Beckenbauer adalah sebahagian daripada beberapa nama besar yang berada dalam siasatan jenayah Switzerland kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah ketika Piala Dunia 2006.

Pada Oktober tahun lepas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan mereka sedang menjalankan siasatan ke atas legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer dan naib presiden badan induk itu Maria Villar Llona.

FIFA dalam satu kenyataan semalam berkata, maklumat siasatan membabitkan dakwaan salah guna kuasa ke atas dua tokoh bola sepak itu kini di tangan Jawatankuasa Etika FIFA yang kemudian akan membuat keputusan.

Beckenbauer dan Villar Llona adalah sebahagian daripada 11 orang yang disiasat oleh FIFA, malah badan bola sepak itu juga buat kali pertama mengesahkan Presiden Sepp Blatter dan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini yang sedang digantung turut disasat oleh Jawatankuasa Etika.

Penyiasat antirasuah bola sepak sebelum ini dihalang daripada mendedahkan siapa yang berada dalam senarai yang disiasat sehingga perkara itu didedahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FIFA sendiri.

Beckenbauer dan Villar Llona menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FIFA ketika Rusia dan Qatar diberikan hak tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022 dalam majlis undian kontroversi yang dilakukan pada 2010. – AP