Beckenbauer pula disiasat

Beckenbauer pula disiasat

BERLIN, 22 Okt – Siasatan Jawatankuasa Etika FIFA ke atas ikon bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer sudah selesai dan kes itu diserahkan kepada dewan pengadil untuk pendakwaan, kata jawatankuasa etika semalam.

Kenyataan itu berkata, naib presiden FIFA dari Sepanyol, Angel Maria Villar Llona juga menghadapi dakwaan bagi pelanggaran kanun etika.

“Prosiding yang berhubung kait dengan Angel Maria Villar Llona dan Franz Beckenbauer sudah diserahkan kepada dewan pengadilan,” kata kenyataan, tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut. Kenyataan itu menggambarkan ketetapan terakhir akan dibuat dalam masa terdekat.

Beckenbauer, yang menjadi kapten dan jurulatih Jerman ketika menjulang Piala Dunia dan ketua penganjur Piala Dunia 2006 di Jerman, tahun lepas digantung oleh FIFA untuk beberapa minggu kerana tiada respons kepada soalan jawatankuasa etika berhubung siasatan ke atas penganugerahan Piala Dunia 2018 dan 2022.

Beckenbauer dan Villar Llona diundi menjadi eksekutif FIFA apabila hos pertandingan dilantik pada 2010. Sepuluh daripada 24 eksekutif ketika ini digantung, diharamkan atau disiasat, dan Mohamed bin Hammam diharamkan sepanjang hayat bagi kesalahan lain.

Gambar fail 6 Mac 2006 menunjukkan presiden jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2006, Beckenbauer, semasa mesyuarat di Hotel Hilton, Dusseldorf. – AFP
Gambar fail 6 Mac 2006 menunjukkan presiden jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2006, Beckenbauer, semasa mesyuarat di Hotel Hilton, Dusseldorf. – AFP

Villar Llona yang juga naib presiden kanan UEFA dan mempengerusikan mesyuarat tergempar pertubuhan Eropah itu menggantikan tempat Michel Platini, yang tidak hadir kerana penggantungan FIFA.

Villar Llona Selasa lalu dinamakan sebagai pemangku pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Piala Dunia FIFA.

Tiada reaksi segera daripada Beckenbauer atau Villar Llona.

Pengumuman semalam adalah pengesahan rasmi pertama daripada siasatan ke atas mereka.

Ia didedahkan selepas jawatankuasa eksekutif memutuskan pada hari sebelumnya untuk membenarkan jawatankuasa etika menerbitkan laporan dan mendedahkan nama–nama selepas hasil siasatan berterusan sebelum keputusan dicapai.

“Pada masa depan, jawatankuasa etika mungkin akan mengesahkan permintaan prosiding pembukaan ke atas perwakilan bola sepak dunia,” katanya. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA