BEDB kenal pasti kelemahan syarikat tempatan

BEDB kenal pasti kelemahan syarikat tempatan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Defisit ekonomi yang mencatat negatif 1.8 peratus pada 2013 berbanding pertumbuhan positif sebanyak 2.6 peratus pada 2010 telah mendorong Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) menghimpunkan kerjasama beberapa syarikat tempatan yang kukuh bagi menubuhkan satu kumpulan teras perdagangan yang berupaya meraih pendapatan kolektif bernilai lebih $1 bilion dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun.

Dorongan itu adalah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Ogos 2014 yang menegaskan pertumbuhan ekonomi negara ini mesti berkembang pada kadar lima hingga enam peratus setahun untuk menjana pendapatan antara $20 bilion hingga $80 bilion bagi mencapai matlamat Wawasan 2035.

Ketika berucap pada perasmian Bengkel Eksekutif Asas Urus Tadbir Korporat yang diadakan di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Tech Park, Anggerek Desa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong berkata, unjuran kadar pertumbuhan ekonomi itu akan mendatangkan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara terutama di sektor yang menyokong pertumbuhan syarikat tempatan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi BEDB menegaskan BEDB mempelawa bekerjasama beberapa syarikat tempatan untuk menyertai Program Transformasi Enterprise 100.

Menurutnya, melalui program tersebut BEDB telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang lazim dalam aspek mengurus tadbir korporat yang dihadapi oleh kebanyakan syarikat tersebut, antaranya adalah kurang dasar dan sistem perakaunan teratur yang mengakibatkan sistem penyimpanan laporan kewangan tidak teratur dan data kewangan tidak lengkap.

Tetamu kehormat menyaksikan pameran mengenai Program Transformasi Enterprise 100.
Tetamu kehormat menyaksikan pameran mengenai Program Transformasi Enterprise 100.

Ini, ujarnya lagi, akan mengakibatkan kelewatan dalam memfailkan statutori yang menjejaskan keupayaan untuk membuat keputusan tepat, selain masalah seperti ahli lembaga pengarah yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai tugas dan tanggungjawab mereka sekali gus mengakibatkan membuat keputusan yang kurang cermat terhadap masa depan syarikat.

Ketika berucap di hadapan pemilik-pemilik dan ketua pegawai eksekutif lebih 20 syarikat besar tempatan, Dato Paduka Haji Ali berkata bengkel eksekutif selama dua hari itu akan memberikan penjelasan secara terperinci bahawa mengurus tadbir adalah berkaitan rapat dengan memiliki kakitangan, struktur pentadbiran, sistem dan proses yang bersesuaian untuk mentadbirkan sesebuah organisasi supaya dapat menjamin kejayaan jangka panjang.

Ini dapat dicapai dengan mempertingkatkan prestasi dan akauntabiliti serta sistem pengurusan risiko yang mantap kerana urus tadbir yang lemah boleh menghancurkan perniagaan “seperti yang berlaku ke atas syarikat gergasi Enron Corporation,” ujarnya.

Tetamu kehormat (keenam dari kiri) bergambar ramai bersama ahli perniagaan tempatan yang menyertai bengkel berkenaan.
Tetamu kehormat (keenam dari kiri) bergambar ramai bersama ahli perniagaan tempatan yang menyertai bengkel berkenaan.

Beliau memberi keyakinan bahawa BEDB, melalui Program Transformasi Enterprise 100, akan bekerjasama rapat dengan syarikat tempatan untuk mewujudkan dan mengukuhkan asas-asas teras korporat yang memerlukan pertumbuhan lestari pada jangka masa panjang.

Program Transformasi Enterprise 100 menggambarkan inisiatif utama yang diusahakan oleh BEDB dalam menangani kelemahan dan jurang bagi membolehkan syarikat-syarikat tempatan melalui tahap transformasi yang mengukuhkan lagi aspek urus tadbir di bidang-bidang yang penting seperti mematuhi undang-undang, kewangan dan amalan urus tadbir.

Bengkel selama dua hari itu dipimpin oleh seorang profesor madya dari Universiti Nasional Singapura, iaitu Dr Mak Yuen yang akan merangkumi bidang-bidang berkaitan dengan urus tadbir korporat serta mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi dalam mengubah syarikat tempatan dan syarikat yang ditadbir oleh anggota keluarga kepada sebuah syarikat milik awam yang mempunyai pemegang saham dari luar.

ARTIKEL YANG SAMA