BEDB memeterai MoU baru

BEDB memeterai MoU baru

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei Darussalam (BEDB) telah melakar satu lagi sejarah apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat dari Tunisia bagi pelaburan penghasilan makanan halal serta kemudahan eksport yang bakal berpusat di negara ini menjelang akhir tahun 2017.

MoU berkenaan juga menjadi batu loncatan bagi Brunei Darussalam dalam mempelbagaikan ekonomi serta transformasi menjadikan Brunei sebagai hab penghasilan makanan halal di rantau ini.

Penandatanganan MoU di antara BEDB dengan AZ Food (B) Sdn Bhd dan Catering and International Trading (CIT) Company itu telah berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, di sini, hari ini.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Menandatangani bagi pihak BEDB ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, dan CIT diwakili Pengerusinya, Albdelbaset M. Abid serta Pengurus besarnya, Ali Ghammagui, sementara itu, AZ Food pula diwakili oleh Pengerusinya, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad.

Perwakilan daripada BEDB, CIT dan AZ Food bergambar bersama tetamu kehormat majlis.
Perwakilan daripada BEDB, CIT dan AZ Food bergambar bersama tetamu kehormat majlis.

Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan berkenaan ialah Pengurus Besar SMC Technologies, Amedeo Pagotto, yang mana SMC Technologies merupakan rakan niaga CIT.

Semasa menyampaikan ucapan di awal majlis itu, Hajah Hasnah berkata projek ini akan menghasilkan salah satu kemudahan penghasilan makanan paling sofistikated di Brunei.

Menurut beliau, kemudahan yang bakal bertapak di Brunei itu akan menghasilkan produk makanan daripada peringkat awal penghasilan sehingga ke peringkat pembungkusan dan penyediaan mesin layan diri (vending machine).

“Makanan bungkus ini, yang boleh bertahan sehingga 24 bulan, akan dipasarkan di ASEAN dan luar rantau ini, di mana ia akan dijual menerusi mesin-mesin layan diri dan kedai-kedai runcit,” jelas beliau.

Mengulas mengenai ketahanan produk ini, Hajah Hasnah berkata, ia mampu bertahan lama kerana penggunaan plastik pembungkus terbiodegradasikan khas, yang membolehkannya disimpan tanpa perlu penyejukan.

Dari segi kemudahannya pula, beliau menjelaskan bahawa pembinaan pusat berkenaan akan bermula pada suku ketiga 2016 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2017 di tanah seluas 4.48 hektar di Taman Perindustrian Salambigar yang disediakan oleh BEDB.

“Pembangunan penghasilan dan eksport makanan halal itu akan menghasilkan 206 peluang pekerjaan, sekali gus akan menjana pendapatan Brunei Darussalam serta membolehkan pemindahan teknologi dan kemahiran kepada anak tempatan, membuka peluang perniagaan dalam kalangan pengusaha kecil dan sederhana,” ujarnya.

Katanya lagi, projek ini akan mengukuhkan lagi tarikan Brunei Darussalam sebagai destinasi pelaburan asing termasuk dalam pembuatan dan eksport produk halal serta membantu melangkah ke hadapan ke arah mencapai Wawasan 2035.

ARTIKEL YANG SAMA