Bedilan diteruskan menjelang gencatan senjata

Bedilan diteruskan menjelang gencatan senjata

BEIRUT, 26 Feb (AFP) – Pesawat-pesawat perang Rusia meneruskan serangan udara pada kubu-kubu kuat pemberontak di Syria hari ini, hanya beberapa jam sebelum gencatan senjata berkuat kuasa, menurut pemerhati Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia.

Rusia bagaimanapun menolak laporan-laporan dan mengatakan ia meneruskan serangan pada “pertubuhan-pertubuhan pengganas” menjelang perjanjian damai itu.

Gencatan senjata separa itu di antara tentera-tentera rejim dan pejuang-pejuang pemberontak bukan pengganas dijadualkan akan berkuat kuasa pada waktu tengah malam Jumaat (2200 GMT) waktu Damsyik. Ia tidak termasuk kumpulan jihad IS dan Al-Nusra Front.

“Sejak semalam hingga pagi ini, terdapat beberapa serangan udara Rusia yang lebih hebat dari biasanya pada benteng-benteng pemberontak termasuk Ghouta Timur yang berada di timur Damsyik, di wilayah utara Homs da di wilayah barat Aleppo,” ketua Balai Cerap Rami Abdel Rahman berkata.

Serangan-serangan udara di kawasan dikawal pihak pemberontak Qabtan al-Jabal di wilayah Aleppo mengorbankan lapan ahli keluarga yang sama termasuk tiga kanak-kanak semalam, menurut pihak pemerhati.

Pekerja-pekerja kecemasan mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan yang terkena bom udara Rusia. – AFP
Pekerja-pekerja kecemasan mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan yang terkena bom udara Rusia. – AFP

“Terdapat sekurang-kurangnya 25 serangan udara di Ghouta Timur,” kubu utama pemberontak di mana kumpulan pemberontak utama berada iaitu gerakan Jais hal-Islam, kata Abdel Rahman.

“Sekurang-kurangnya 10 daripadanya melanda Douma,” sebuah kawasan di sana, kata pemerhati berdasarkan dari Britain, yang bergantung pada rangkaian luas sumber-sumber di Syria.

“Pada masa yang sama tentera-tentera rejim secara ganas membedil bandar itu,” kata Abdel Rahman.

“Ia lebih hebat berbanding biasanya. Ia seperti mereka (pihak Rusia dan rejim) mahu menundukkan para pemberontak di rantau-rantau ini atau mengambil peluang yang ada sebelum gencatan senjata bermula,” tambahnya.

Serangan-serangan udara Rusia juga melanda kawasan Daret Ezza di barat wilayah Aleppo dan bandar Talbisseh di wilayah Homs.

Di kawasan-kawasan ini, seperti Gouta, bilangan pemberontak melebihi jumlah pejuang Nusra, kata pemerhati itu.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menolak laporan-laporan daripada Balai Cerap itu.

“Tentera udara Rusia memang meneruskan operasinya di Syria” tapi terhadap “kumpulan-kumpulan pengganas,” katanya.

Sejak Moscow melancarkan serangan-serangan udara di Syria pada September, ia telah dituduh menyerang kumpulan-kumpulan pemberontak bukan jihad dalam menyokong rejim Damsyik, sekutu sejak sekian lama.

Abdel Rahman berkata pelaksanaan gencatan senjata separa akan tidak mudah kerana Nusra bersekutu dengan para pemberontak Islam dan bukan Islam di beberapa tempat di Syria.

Wilayah-wilayah mereka bertindih terutamanya di Idlib dan wilayah Aleppo. Ia akan menjadi begitu kompleks,” kata Abdel Rahman.

Lebih daripada 270,000 orang telah terbunuh sejak peperangan itu meletus pada Mac 2011, dan jutaan telah meninggalkan tempat tinggal mereka.

ARTIKEL YANG SAMA