Beg tangan dijual AS$300,000

Beg tangan dijual AS$300,000

HONG KONG, 31 Mei – Beg tangan kulit buaya yang bertatahkan berlian Hermes dengan perincian emas putih telah memecah rekod untuk beg tangan paling mahal di dunia yang dijual pada pelelongan, mencecah hampir AS$300,000 pada satu penjualan Hong Kong.

Beg tangan Kulit Buaya Berlian Himalaya Niloticus Birkin 30 dijual kepada pembida telefon yang tidak diketahui lewat semalam dengan harga HK$2.32 juta (AS$298,655), mengatasi anggaran sebelum jualan sebanyak HK$2 juta, kata firma pelelongan Christie’s.

“Ia adalah harga rekod dunia untuk mana-mana beg tangan yang dijual pada pelelongan,” beritahu Bingle Lee, jurucakap Christie’s di Hong Kong, kepada AFP. Beg tangan berjenama semakin dilihat sebagai peluang pelaburan dan merupakan trend kegilaan terbaru untuk pengumpul, memukau firma pelelongan global dan mencatat harga rekod.

Rekod baru itu mengatasi rekod yang dicatat pada tahun lalu, juga di Hong Kong, apabila beg Hermes berwarna fuchsia dijual dengan harga AS$222,912. Beg tangan buatan tangan itu digambarkan oleh pelelong di London sebagai “yang paling luar biasa dan amat dicari-cari” bertatahkan berlian sementara kancing dan mangga kecil Hermes adalah dibuat daripada 18 karat emas putih.

“Dipercayai hanya satu atau dua daripada Berlian Himalaya yang dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, menjadikannya salah satu pengeluaran paling rendah untuk beg tangan,” kata Christie’s dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum jualan. – AFP

Seorang model memperagakan beg tangan kulit buaya yang bertatahkan emas dan berlian. – AFP
Seorang model memperagakan beg tangan kulit buaya yang bertatahkan emas dan berlian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA