Beg udara jejas pemilik pikap

DETROIT, 12 Jan – Ford memberitahu pemilik kira-kira 2,900 trak pikap kecil Ranger untuk tidak memandunya selepas mereka mendapati pengembung beg udara Takata telah meletup dan membunuh seorang pemandu di Virginia Barat.

Steve Mollohan, 56, dari Hedgesville, Virginia Barat, maut pada 1 Julai berdekatan Martinsburg, kira-kira 80 batu dari timur laut Washington, D.C., menurut seorang peguam yang berpangkalan di Pittsburgh yang mewakili keluarga mangsa, Rob Peirce III.

Ford berkata ia mengetahui kemalangan itu pada Disember. Selepas beberapa siasatan, syarikat itu memutuskan bahawa pengembung yang dibuat pada hari yang sama, meletup dan mengorbankan seorang pemandu Ranger di Carolina Utara pada 2015.

Ford kini mengeluarkan penarikan segera terbarunya di AS dan Kanada bagi Ranger dengan pengembung yang dibuat pada hari yang sama kerana bimbang terhadap bahaya yang bakal dihadapi.

“Kami mengambil langkah serius tentang perkara ini dan menasihatkan pemilik Ford Ranger 2006 untuk menghentikan kenderaan mereka agar penjual kenderaan akan dapat membuat pembaikan segera,” menurut kenyataan Ford semalam.

Penjual Ford akan memperbaiki kereta berkenaan di rumah pemilik atau menundanya, menurut jurucakap Elizabeth Weigandt. Syarikat turut menawarkan peminjaman kenderaan.

“Adalah sangat kritikal agar pesanan ini sampai kepada semua pemilik yang terjejas,” menurut kenyataan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh raya Kebangsaan.

“Ia sangat penting untuk menjejaki beg udara berisiko tinggi dan diganti dengan segera.” – AP