Beijing boleh

Beijing boleh

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) – Beijing yakin mereka merupakan pilihan yang boleh diyakini untuk menjadi hos Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 sepertimana terbukti pada kejayaannya sebagai hos Sukan Olimpik Musim Panas 2008.

Jurucakap Jawatankuasa Bidaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, Wang Hui berkata Sesi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ke-128 di Kuala Lumpur merupakan pilihan terakhir untuk Beijing memenangi ‘countdown’ peringkat akhir untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik itu.

“Kami akan mengemukakan presentasi terakhir kepada para anggota IOC di sini. Sesi bidaan adalah penting buat kami. Undian bukan di tangan kami, ini ditetapkan oleh anggota IOC,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sesi IOC ke-128 dari 31 Julai hingga 3 Ogos akan membuat keputusan berkaitan isu-isu dasar utama, termasuk pemilihan bandaraya tuan rumah bagi sukan itu dan bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk Belia 2020.

Timbalan Presiden Jawatankuasa Bidaan Olimpik China, Zhang Haidi (kiri) semasa menghadiri sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam. – AFP
Timbalan Presiden Jawatankuasa Bidaan Olimpik China, Zhang Haidi (kiri) semasa menghadiri sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam. – AFP

Mesyuarat Lembaga Eksekutif dan Sesi OIC, pembentangan presentasi oleh calon-calon bandaraya tuan rumah, dan penandatanganan Kontrak Bandaraya Tuan Rumah akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Wang berkata, Beijing mempunyai banyak kelebihan untuk menjadi hos Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Beijing sudahpun memiliki 11 dari 12 venue sukan yang sedia ada dari Sukan Musim Panas 2008, yang tidak memerlukan pembinaan venue secara besar-besaran.

“Kami juga akan mendorong 300 juta penduduk di China melibatkan diri dalam sukan itu, yang sejumlah besarnya akan mengubah lanskap sukan musim sejuk di dunia,” kata beliau.

Jika bidaan ini berjaya, Beijing akan merupakan bandaraya pertama menjadi tuan rumah bagi Olimpik Musim Panas dan Sejuk.