Beijing kekalkan KDNK purata 7.7%

Beijing kekalkan KDNK purata 7.7%

BEIJING, 23 Nov (Bernama) – Beijing mengekalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada purata 7.7 peratus sepanjang tempoh pelan lima tahun ke-12 dan menunjukkan trend menaik.

Menurut Pejabat Penerangan Kerajaan Perbandaran Rakyat Beijing, bagi bidang teknologi, input penyelidikan dan pembangunan meningkat 11.5 peratus setahun dari 2011 hingga 2014.

Ia berkata, BOE Technology Group Co Ltd yang berpangkalan di Beijing adalah antara syarikat yang menunjukkan pertumbuhan luar biasa.

“Pelaburannya yang besar dalam penyelidikan dan pembangunan menjadikannya pengeluar utama skrin telefon pintar dan tablet di China,” katanya dalam laman sesawangnya hari ini.

KDNK per kapita Beijing pada 2010 berjumlah AS$10,910 dan meningkat kepada AS$16,278 tahun lepas.

Jabatan itu menyatakan struktur ekonomi Beijing juga bertambah baik, dan dari 2006, nilai tambah dalam industri perkhidmatannya menyumbang 70 peratus kepada jumlah keseluruhan KDNK, dan peratusan meningkat kepada 77.9 peratus tahun lepas.

Perkhidmatan kewangan, maklumat, perdagangan dan teknologi di ibu negara itu melihat pertumbuhan dua angka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pejabat Penerangan turut berkata penggunaan juga menyaksikan pertumbuhan teguh dengan menyumbangkan 74.4 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Beijing dari 2011 ke 2014, lebih tinggi berbanding sumbangan 45.4 peratus oleh pelaburan.

Dalam tempoh pelan lima tahun ke-12, katanya, Beijing mengambil langkah untuk menyelaraskan pentadbiran dan mewakilkan kuasa, dengan lebih banyak pelaburan di sektor swasta bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Pada suku ketiga tahun ini, pelaburan sektor swasta berjumlah 234.2 bilion yuan, peningkatan 20 peratus dari tahun lepas.