Beijing peneraju daya saing inovasi China

Beijing peneraju daya saing inovasi China

BEIJING, 18 Dis (Bernama) – Ibu negara China, Beijing, menjadi peneraju daya saing inovasi dalam kalangan 29 kawasan peringkat wilayah negara itu, demikian menurut Pejabat Penerangan Kerajaan Perbandaran Rakyat Beijing.

Mengikut Laporan Pembangunan Inovasi China 2015 yang dikeluarkan bersama Pusat Penyelidikan Inovasi Teknologi, Universiti Tsinghua dan Penerbitan Akademik Sains Sosial, katanya, Shanghai dan Jiangsu, kedua-dua yang terletak di timur China, masing-masing berada di belakang Beijing dalam kedudukan itu.

Beijing mengungguli indeks inovasi alam sekitar, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, pelaburan teknologi komunikasi maklumat per kapita dan jumlah pekerja berkelulusan diploma.

Ia turut termasuk perusahaan (pendapatan perniagaan tahunan melebihi 20 juta renminbi) dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kadar peruntukan dana teknologi dalam perbelanjaan kewangan awam, menurut pejabat itu dalam laman webnya hari ini.

Menurutnya lagi, Beijing juga berada di kedudukan pertama dalam sumber inovasi, yang termasuk perbelanjaan R&D, peratusan perbelanjaan R&D dalam KDNK, perbelanjaan R&D per kapita, setara sepenuh masa (FTE) pegawai R&D serta jumlah pegawai R&D bagi setiap 1,000 orang.

Beijing turut di tempat teratas dalam pencapaian inovasi, termasuk jumlah kelulusan paten bagi setiap 10,000 orang, jumlah paten daya cipta bagi setiap 10,000 orang serta jumlah paten daya cipta bagi setiap 1,000 pegawai R&D.