Beijing tolak hak tribunal Filipina

Beijing tolak hak tribunal Filipina

BEIJING, 30 Jun (AFP) – Beijing akan menolak sebarang keputusan oleh tribunal antarabangsa dalam satu kes yang dikemukakan oleh Filipina berhubung Laut China Selatan, kata kementerian luar negeri, tatkala ketegangan meningkat mengenai perairan yang dipertikaikan itu.

Mahkamah Tetap Penimbang Tara (PCA) yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata semalam ia akan memutuskan pada 12 Julai dalam kes yang mencabar tuntutan China ke atas jalan air strategik itu.

Beijing telah menolak hak tribunal untuk mendengar kes itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding, melancarkan satu kempen diplomatik dan propaganda untuk melemahkan kewibawaannya.

“Mengenai isu wilayah dan perbalahan pembatasan laut, China tidak menerima sebarang cara penyelesaian perbalahan pihak ketiga atau mana-mana penyelesaian yang dikenakan ke atas China,” kata jurucakap kementerian luar Hong Lei dalam satu kenyataan di laman webnya.

Tribunal “ditubuhkan berdasarkan tingkah laku dan tuntutan tidak sah Filipina” dan “tidak mempunyai bidang kuasa berhubung isu relevan,” kata beliau.

Manila mengemuka tindakan guaman ke atas Beijing pada awal tahun 2013, berkata selepas rundingan selama 17 tahun, ia telah kehabisan kesemua jalan politik dan diplomatik untuk menyelesai perbalahan tersebut.

Menjangkau lebih tiga tahun, dua perbicaraan dan hampir 4,000 muka surat bukti, kes penimbang taraan di The Hague adalah amat kompleks.

China menuntut kebanyakan kawasan laut, malah perairan yang menghampiri negara jiran, bersasarkan peta “sembilan sengkang” China yang wujud sejak tahun 1940.

ARTIKEL YANG SAMA