Bekalan Buku Mencukupi

Bekalan Buku Mencukupi

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Dengan penggal persekolahan baru bakal bermula kurang daripada seminggu lagi (pada 4 Januari 2016), tidak banyak rungutan diluahkan oleh ibu bapa tahun ini apabila kedai-kedai buku memberi jaminan bahawa tiada buku teks dan buku kerja kekurangan bekalan.

Beberapa orang pengurus kedai buku yang ditemui rata-ratanya memberitahu mereka mempunyai bekalan buku teks dan buku kerja yang mencukupi, malahan penghantaran kedua buku-buku juga telah tiba bagi memenuhi permintaan.

Pengurus Bismi Trading Sdn Bhd di Gadong, Jamal Mohamed, semasa ditemui, hari ini, memberitahu, tiada kekurangan buku teks dicatatkan seperti yang dialami pada tahun-tahun sebelumnya.

“Kami mempunyai set lengkap buku teks. Ibu bapa gembira, begitu juga kami kerana setakat ini jualan mencatatkan peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding tahun lalu.

Ibu bapa memilih buku-buku sekolah untuk anak-anak mereka. – Gambar oleh Syahmi Hassan
Ibu bapa memilih buku-buku sekolah untuk anak-anak mereka. – Gambar oleh Syahmi Hassan

“Perniagaan menggalakkan terutamanya selepas bonus tahunan apabila ibu bapa boleh mendapatkan semuanya di bawah satu bumbung di kedai ini. Malah trend ini telah bermula sejak penghujung November tahun ini,” tambahnya.

Pengurus Jualan Samima Sdn Bhd, Mohamad Rafi turut mengatakan jualan di kedai mereka tahun ini juga lebih baik berbanding tahun lalu, lebih-lebih lagi sejak mereka membesarkan kedai mereka di seberang jalan di Kiulap.

Menurutnya, buku-buku teks sangat laris dan mudah kehabisan bekalan, namun nasib baik penghantaran kedua tiba hari ini. Antara buku yang kekurangan tetapi akan tiba dalam beberapa hari termasuk Gateway English for Secondary Students dan Smart Maths bagi pelajar Tahun 4.

Beliau turut berkata, set lengkap barangan sekolah di kedainya merangsangkan perniagaan dan menambah, promosi di kedainya akan berjalan sehingga penghujung Januari tahun depan.

Manakala itu, dalam kesibukan ibu bapa membuat persiapan untuk anak-anak mereka kembali ke sekolah, sebilangan kedai telah menawarkan jualan kembali ke sekolah yang memberikan peluang kepada ibu bapa dan penjaga untuk mendapatkan peralatan sekolah dan buku-buku pada harga yang menarik.

Jualan istimewa hujung tahun Brunei Salebration yang berakhir pada 8 Februari 2016 juga diterima baik oleh ibu bapa dan penjaga, yang menggalakkan mereka untuk membeli barangan sekolah di dalam negara.

ARTIKEL YANG SAMA