Bekas ADUN Bengoh meninggal dunia

Bekas ADUN Bengoh meninggal dunia

 

KUCHING, 21 Julai – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bengoh, Datuk William Tanyuh anak Nub, meninggal dunia malam tadi di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Mendiang Tanyuh, 69, meninggalkan isteri Datin Jennifer Alice Chee Moinie dan empat anak.

Jennifer berkata suaminya yang menghidap “Waldenstrom Syndrome” sejenis kanser darah, dimasukkan ke HUS pada petang Ahad tetapi meninggal dunia pada pukul 7.50 malam tadi.

Beliau berkata upacara sembahyang akan diadakan pada 10.30 pagi Khamis di Gereja St Thomas di sini dan mayat mendiang akan dikebumikan pada hari yang sama. Tanyuh memenangi kerusi DUN Bengoh pada pilihan raya kecil 1982 atas tiket Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi tidak bertanding pada pilihan raya 1983.

Mendiang Datuk William Tanyuh.
Mendiang Datuk William Tanyuh.

Beliau bertanding semula pada pilihan raya negeri 1991 dan mengalahkan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Datuk Wilfred Nissom serta berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada 1996 dengan mengalahkan calon bebas Datuk Dr Jerip Susil.

Sementara itu Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata mendiang memberi perkhidmatan yang baik kepada parti selaku anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) selama beberapa tahun atas beberapa kapasiti dan jawatan terakhir yang disandangnya ialah pengerusi Jawatankuasa Disiplin SUPP.

“Parti kehilangan pemimpin yang paling lama berkhidmat, setia serta disayangi dan semoga roh beliau aman,” kata Sim. – Bernama